Followers

21 December, 2015

dia TAK BERSALAH!

Aduhai dunia... Kecoh lagi engkau ya?

Kali ini kisah pesilat mati tertikam. Sungguh.... semua simpati aku curahkan kepada mangsa dan keluarga termasuk si yang menikam. Sungguh.... dia tak sengaja. Sungguh... dia tak bersalah.

Adat bersilat, selalunya berkeris. Adat bertempur, selalunya luka atau melukai. Itulah adatnya. Sehabisnya pesilat mahu mengelak untuk melukai kawan. Apatah lagi dalam kes ini sepupu sendiri. Namun, di sebalik usaha itu ternyata kekuasaan Allah S.W.T itu juga duduk letaknya sebuah keputusan.

Siapa yang tidak terkilan? Si pelaku yang menikam? Gurulatih yang mengajar? Keluarga yang selama ini menyokong dan mendokong kemahuan seorang anak untuk menjadi pesilat? Jika diundurkan masa, mahu sahaja si pelaku menahan tangannya jangan tersasar ke jantung. Gurulatih juga mahu melompat, menepis serangan pelajar itu sekiranya mampu. Malah, keluarga semestinya mahu memaksa si anak bertukar kegemaran... mungkin pilih tarian sebagai kesukaan?

Namun, takdir mengatasi segala. Takdir datang untuk menguji iman. Iman sepupu yang menikam. Iman Gurulatih mengajar. Iman keluarga yang menyayanginya. Malah, takdir datang menguji iman netizen yang ternyata masih tidak ampuh. Beremosi. Memekik dan melolong di ruangan komen. Hey... dengar lah apa aku nak cakap! Seolah-olah begitulah sikapnya setiap kali keluar sesuatu isu.

Sekali lagi silat terpalit dengan imej kepalang buruknya. Sudahlah murid bergelanggang semakin kurang dek kononnya silat membawa kepada kurafat dan berbaik dengan jin. Tidak komersial pula tu sebagaimana kungfu, muay thai dan teakwondo. Kini, tambah satu lagi sebab iaitu silat itu merbahaya!

Mereka mungkin lupa. Silat itu budaya bangsa Melayu. Hidupnya silat senada dengan hidupnya ketamadunan Melayu. Bahkan dikatakan Melayu itu kuat kerana handalnya pendekar Melayu bersilat. Mereka mungkin lupa. Bukan sebarang orang juga tokoh-tokoh silat ini. Bukan sedikit mereka ini agamawan dan pendakwah disegani di Tanah Melayu dan Nusantara. Ulama pun bersilat!

Begitulah perihal keris. Senjata purba Melayu ini seharusnya bukan dikagumi kerana mistiknya. Akan tetapi, kehebatan teknologi pembuatannya. Ia senjata perang terhebat pada zamannya iaitu zaman di mana tamadun Melayu kaya dengan keilmuan dan kebijaksanaan warganya. Ia bukan senjata yang menaikkan syeh pemakainya sehingga hilang pertimbangan. Pastinya bukan seorang pendekar sekiranya membenarkan akalnya dikawal oleh pihak lain. Keris.... dia tak bersalah.


Namun, bila kita sudah sempit fikiran dan kotor dengan syirik. Maka segala pandangan kita dicemari kesyirikan kepada semua benda. Oleh itu, apabila kita diuji dengan dahsyatnya keris, kita mula menyangkutkan hal ini dengan andaian-andaian mistik yang sudah lama mencemari minda kita. Dan kita mula menyalahkan si pelaku tanpa mengira perasaanya yang pastinya penuh penyesalan kerana kehilangan sepupu  tersayang di tangan sendiri. Ada masanya kita perlu tepuk dada untuk tanya iman, adakah ini takdir yang semua kena redha tanpa banyak bersoal jawab.

Redha bukanlah menyerah bulat-bulat kepada nasib yang terjadi. Redha cara Rasulullah s.a.w pastinya berusaha memperbaiki dan mengambil iktibar atas apa yang terjadi.


salah ke aku cakap? sebahagian ada landasan ilmu, sebahagian landasan akal. sekiranya terpesong, maka buangkanlah dan tegur la aku yang lemah ini. Allah juga yang berkuasa atas sesuatu.

No comments: