Followers

07 December, 2015

Allah itu bantu kita lebih daripada apa kita mahu!

Jurulatih silat ini memandang awan mendung di atas kepalanya. Hatinya gelisah. Ada bibit-bibit keliru. Hendak diteruskan latihan atau tidak. Maklum sajalah gelanggang silat ini hanya sebidang tanah segiempat yang dipagari zink dengan hamparan rumput hijau yang segar dan makin panjang. Pastinya hujan bukanlah keadaan yang baik bagi pesilat untuk meneruskan latihan. Sementalah lagi kebanyakan mereka adalah kanak-kanak dan remaja yang masih bersekolah.

Angin makin kuat. Daun-daun kering di ranting-ranting pokok mula berterbangan ditiup angin. Rintik jernih turun juga. Hujan semakin lebat. Si Jurulatih terpaksa akur. Dia berteduh di bawah bangsal silat bersama-sama para pelajarnya.

Buat satu ketika, hujan kembali reda. Namun langit masih lagi dilitupi awan mendung dan angin sesekali kuat menyapa pipi. "Ayuh, kita masuk gelanggang!" arah Si Jurulatih.

Tatkala itu fikiran Si Jurulatih mengimbau latihan silat dua hari lepas. Hari itu, sebelum ke gelanggang dia sudah memasang niat untuk memberi satu tazkirah pendek kepada pesilatnya. Dia mahu ingatkan mereka tentang dua perkara penting yang selalu manusia ambil mudah. Pertama solat dan kedua membaca Quran. 

Takdir Allah, malam itu kehadiran pesilat sangat memuaskan. Lebih 20 orang berada dalam gelanggang. Si Jurulatih menjadi agak sibuk. Masa berlalu pantas sehinggakan si Jurulatih lupa untuk memberi tazkirah. Dia menyesal sendirian. Mungkinkah kehadiran yang ramai ini kurniaan Allah kerana niatnya untuk memberi tazkirah kepada mereka? Akan tetapi, dia telah menyia-yiakan dek sibuk mengajar silat. Ini adalah kerugian yang nyata!

Petang ini, Si Jurulatih bertekad untuk memberikan tazkirah sekali lagi. Rintik hujan tidak lagi selebat tadi seakan restu Allah kepada niat suci itu. Dalam adat membuka gelanggang untuk memulakan latihan, Si Jurulatih sempat memanjatkan doa kepada Allah. "Ya Allah, Engkau alihkan hujan. Izinkan kami berlatih. Dan izinkan aku memberikan tazkirah kepada mereka. Untuk mengingat mereka dan diriku tentang Engkau."

Benar kata orang alim. Allah sangat suka manusia bercakap mengenai-Nya. Ternyata niat Si Jurulatih itu menerima bantuan daripada Allah. Hujan tidak lagi turun. Latihan sangat lancar dan semua pesilat tersenyum puas seolah-olah tidak penat bahkan gembira pula. Si Jurulatih akhirnya berjaya menyampaikan tazkirah ringkas sebelum latihan ditamatkan. Dan seusai latihan, hujan kembali turun dengan lebatnya.

"Silat merupakan satu bentuk bela diri untuk mempertahankan diri daripada musuh. Tahukah kamu, ada satu bentuk bela diri yang lagi ampuh dan berkesan daripada silat? Itulah solat! Solat adalah bela diri kita daripada syaitan dan perangai-perangai buruk. Seorang yang sembahyang sepatutnya tidak mencuri. Seorang yang sembahyang sepatutnya tidak membunuh orang. Bahkan, seorang yang sembahyang sepatutnya tidak berbohong kepada orang lain!"

"Dua perkara yang mahu saya ingatkan kepada semua pesilat. Jagalah solat dan bacalah al-Quran kerana solat adalah penghubung kita dengan Allah sedangkan al-Quran adalah wahyu dan petunjuk Allah."

Begitulah intipati tazkirah ringkas Si Jurulatih. Malam itu, dia menjamu selera berseorangan di sebuah kedai mamak berhampiran rumah. Tak disangka-sangka, makanannya telah dibayar oleh seseorang. Entah siapa. Mungkin kawan atau mungkin juga hamba Allah yang ingin bersedekah. Wallahu'alam. Akan tetapi hati Si Jurulatih menyakini, Allah bantu kita lebih daripada yang kita mahu. 


salah ke aku cakap? sebahagian ada landasan ilmu, sebahagian landasan akal. sekiranya terpesong, maka buangkanlah dan tegur la aku yang lemah ini. Allah juga yang berkuasa atas sesuatu.

No comments: