Followers

21 December, 2015

dia TAK BERSALAH!

Aduhai dunia... Kecoh lagi engkau ya?

Kali ini kisah pesilat mati tertikam. Sungguh.... semua simpati aku curahkan kepada mangsa dan keluarga termasuk si yang menikam. Sungguh.... dia tak sengaja. Sungguh... dia tak bersalah.

Adat bersilat, selalunya berkeris. Adat bertempur, selalunya luka atau melukai. Itulah adatnya. Sehabisnya pesilat mahu mengelak untuk melukai kawan. Apatah lagi dalam kes ini sepupu sendiri. Namun, di sebalik usaha itu ternyata kekuasaan Allah S.W.T itu juga duduk letaknya sebuah keputusan.

Siapa yang tidak terkilan? Si pelaku yang menikam? Gurulatih yang mengajar? Keluarga yang selama ini menyokong dan mendokong kemahuan seorang anak untuk menjadi pesilat? Jika diundurkan masa, mahu sahaja si pelaku menahan tangannya jangan tersasar ke jantung. Gurulatih juga mahu melompat, menepis serangan pelajar itu sekiranya mampu. Malah, keluarga semestinya mahu memaksa si anak bertukar kegemaran... mungkin pilih tarian sebagai kesukaan?

Namun, takdir mengatasi segala. Takdir datang untuk menguji iman. Iman sepupu yang menikam. Iman Gurulatih mengajar. Iman keluarga yang menyayanginya. Malah, takdir datang menguji iman netizen yang ternyata masih tidak ampuh. Beremosi. Memekik dan melolong di ruangan komen. Hey... dengar lah apa aku nak cakap! Seolah-olah begitulah sikapnya setiap kali keluar sesuatu isu.

Sekali lagi silat terpalit dengan imej kepalang buruknya. Sudahlah murid bergelanggang semakin kurang dek kononnya silat membawa kepada kurafat dan berbaik dengan jin. Tidak komersial pula tu sebagaimana kungfu, muay thai dan teakwondo. Kini, tambah satu lagi sebab iaitu silat itu merbahaya!

Mereka mungkin lupa. Silat itu budaya bangsa Melayu. Hidupnya silat senada dengan hidupnya ketamadunan Melayu. Bahkan dikatakan Melayu itu kuat kerana handalnya pendekar Melayu bersilat. Mereka mungkin lupa. Bukan sebarang orang juga tokoh-tokoh silat ini. Bukan sedikit mereka ini agamawan dan pendakwah disegani di Tanah Melayu dan Nusantara. Ulama pun bersilat!

Begitulah perihal keris. Senjata purba Melayu ini seharusnya bukan dikagumi kerana mistiknya. Akan tetapi, kehebatan teknologi pembuatannya. Ia senjata perang terhebat pada zamannya iaitu zaman di mana tamadun Melayu kaya dengan keilmuan dan kebijaksanaan warganya. Ia bukan senjata yang menaikkan syeh pemakainya sehingga hilang pertimbangan. Pastinya bukan seorang pendekar sekiranya membenarkan akalnya dikawal oleh pihak lain. Keris.... dia tak bersalah.


Namun, bila kita sudah sempit fikiran dan kotor dengan syirik. Maka segala pandangan kita dicemari kesyirikan kepada semua benda. Oleh itu, apabila kita diuji dengan dahsyatnya keris, kita mula menyangkutkan hal ini dengan andaian-andaian mistik yang sudah lama mencemari minda kita. Dan kita mula menyalahkan si pelaku tanpa mengira perasaanya yang pastinya penuh penyesalan kerana kehilangan sepupu  tersayang di tangan sendiri. Ada masanya kita perlu tepuk dada untuk tanya iman, adakah ini takdir yang semua kena redha tanpa banyak bersoal jawab.

Redha bukanlah menyerah bulat-bulat kepada nasib yang terjadi. Redha cara Rasulullah s.a.w pastinya berusaha memperbaiki dan mengambil iktibar atas apa yang terjadi.


salah ke aku cakap? sebahagian ada landasan ilmu, sebahagian landasan akal. sekiranya terpesong, maka buangkanlah dan tegur la aku yang lemah ini. Allah juga yang berkuasa atas sesuatu.

07 December, 2015

Allah itu bantu kita lebih daripada apa kita mahu!

Jurulatih silat ini memandang awan mendung di atas kepalanya. Hatinya gelisah. Ada bibit-bibit keliru. Hendak diteruskan latihan atau tidak. Maklum sajalah gelanggang silat ini hanya sebidang tanah segiempat yang dipagari zink dengan hamparan rumput hijau yang segar dan makin panjang. Pastinya hujan bukanlah keadaan yang baik bagi pesilat untuk meneruskan latihan. Sementalah lagi kebanyakan mereka adalah kanak-kanak dan remaja yang masih bersekolah.

Angin makin kuat. Daun-daun kering di ranting-ranting pokok mula berterbangan ditiup angin. Rintik jernih turun juga. Hujan semakin lebat. Si Jurulatih terpaksa akur. Dia berteduh di bawah bangsal silat bersama-sama para pelajarnya.

Buat satu ketika, hujan kembali reda. Namun langit masih lagi dilitupi awan mendung dan angin sesekali kuat menyapa pipi. "Ayuh, kita masuk gelanggang!" arah Si Jurulatih.

Tatkala itu fikiran Si Jurulatih mengimbau latihan silat dua hari lepas. Hari itu, sebelum ke gelanggang dia sudah memasang niat untuk memberi satu tazkirah pendek kepada pesilatnya. Dia mahu ingatkan mereka tentang dua perkara penting yang selalu manusia ambil mudah. Pertama solat dan kedua membaca Quran. 

Takdir Allah, malam itu kehadiran pesilat sangat memuaskan. Lebih 20 orang berada dalam gelanggang. Si Jurulatih menjadi agak sibuk. Masa berlalu pantas sehinggakan si Jurulatih lupa untuk memberi tazkirah. Dia menyesal sendirian. Mungkinkah kehadiran yang ramai ini kurniaan Allah kerana niatnya untuk memberi tazkirah kepada mereka? Akan tetapi, dia telah menyia-yiakan dek sibuk mengajar silat. Ini adalah kerugian yang nyata!

Petang ini, Si Jurulatih bertekad untuk memberikan tazkirah sekali lagi. Rintik hujan tidak lagi selebat tadi seakan restu Allah kepada niat suci itu. Dalam adat membuka gelanggang untuk memulakan latihan, Si Jurulatih sempat memanjatkan doa kepada Allah. "Ya Allah, Engkau alihkan hujan. Izinkan kami berlatih. Dan izinkan aku memberikan tazkirah kepada mereka. Untuk mengingat mereka dan diriku tentang Engkau."

Benar kata orang alim. Allah sangat suka manusia bercakap mengenai-Nya. Ternyata niat Si Jurulatih itu menerima bantuan daripada Allah. Hujan tidak lagi turun. Latihan sangat lancar dan semua pesilat tersenyum puas seolah-olah tidak penat bahkan gembira pula. Si Jurulatih akhirnya berjaya menyampaikan tazkirah ringkas sebelum latihan ditamatkan. Dan seusai latihan, hujan kembali turun dengan lebatnya.

"Silat merupakan satu bentuk bela diri untuk mempertahankan diri daripada musuh. Tahukah kamu, ada satu bentuk bela diri yang lagi ampuh dan berkesan daripada silat? Itulah solat! Solat adalah bela diri kita daripada syaitan dan perangai-perangai buruk. Seorang yang sembahyang sepatutnya tidak mencuri. Seorang yang sembahyang sepatutnya tidak membunuh orang. Bahkan, seorang yang sembahyang sepatutnya tidak berbohong kepada orang lain!"

"Dua perkara yang mahu saya ingatkan kepada semua pesilat. Jagalah solat dan bacalah al-Quran kerana solat adalah penghubung kita dengan Allah sedangkan al-Quran adalah wahyu dan petunjuk Allah."

Begitulah intipati tazkirah ringkas Si Jurulatih. Malam itu, dia menjamu selera berseorangan di sebuah kedai mamak berhampiran rumah. Tak disangka-sangka, makanannya telah dibayar oleh seseorang. Entah siapa. Mungkin kawan atau mungkin juga hamba Allah yang ingin bersedekah. Wallahu'alam. Akan tetapi hati Si Jurulatih menyakini, Allah bantu kita lebih daripada yang kita mahu. 


salah ke aku cakap? sebahagian ada landasan ilmu, sebahagian landasan akal. sekiranya terpesong, maka buangkanlah dan tegur la aku yang lemah ini. Allah juga yang berkuasa atas sesuatu.

02 December, 2015

kita KENAL mereka hanya di DUNIA?

aSsalaMualaiKuM. Salam pagi yang sejuk selepas hujan turun... hari ini pagi Rabu, 2 Disember 2015.

Semalam, kembalinya Pak Yus Jambu menghadap Allah Azza waJalla. Alhamdulillah, segalanya nampak baik pada arwah. Serius cakap... terasa di lubuk hati bila tahu Pak Yus dipanggil di usia muda. Rasanya belum puas bergelak ketawa dengan gelagat lucu beliau dan Taukeh. Diorang ni memang serasi sangat.

Aku belek-belek komen peminat di Fb. Dengar komen rakan artis beliau di tv. Baca pengalaman kawan-kawan beliau (artis jugak) di Fb dan website. Rata-rata berceritakan betapa baiknya beliau. Betapa ramahnya beliau. Merendah diri. Ambil berat. Pemurah. Ramai yang menyenangi beliau. Mereka kata beliau bukan seorang kawan tapi macam abang atau family sendiri.

Ramai bercerita yang Pak Yus tak kedekut. Pemurah sangat. Bagi pinjam duit. Belanja orang. Ada buat sumbangan pada sekolah. Tanggung keluarga. Dia dalam proses nak ubah status keluarganya. Ye... sebab dia bukan orang senang dan pernah susah. Bahkan abangnya sekarang pun bukan orang senang. Selalu Pak Yus juga yang bantu, kata abangnya.

Semakin berusia, makin banyak orang yang kita kenal pergi menghadap Ilahi. Teringat kisah Nabi Daud a.s dan Izrail kalau aku tak silap, apabila nyawa baginda hendak dicabut. Lalu ditanya baginda, tidakkah patut diberi peringatan dahulu tentang maut sebelum nyawanya dicabut. Lalu diberitahu kepadanya tanda-tanda peringatan itu telah ada. Baginda bertanya apa tanda-tanda itu? Maka dijelaskan tanda-tanda itu antaranya, rambut yang beruban, tenaga yang makin lemah dan kematian orang-orang di sekeliling.

Tahun lepas aku kehilangan ibu. Esok, genap setahun Mami (panggilan untuk ibu) pergi. Rasa kehilangan itu sentiasa terpahat walaupun kesedihan itu tak seperit hari ketiadaannya. Di dunia ini, kita kenal ibu kita, kita kenal bapa kita, saudara kita, rakan-rakan kita.... Tapi di akhirat, masing-masing terlalu sibuk dengan hal sendiri. Seperti kisah manusia yang datang berjumpa Nabi-nabi untuk meminta dipercepatkan hisab. Maka jawab mereka, "Nafsi nafsi".. Aku aku.. engkau engkau..

Ya Allah, kalau ikutkan hati rasa seperti mahu berjumpa Mami semula di akhirat. Hidup semula di sana dalam satu keluarga. Tapi, itu bukanlah suasana akhirat yang sememangnya diketahui tempat yang sangat menakutkan bagi para pendosa dan tempat yang sangat beruntung bagi hamba yang taat. 

Hanya memasuki syurga pilihan kepada kita jika mahu bersama dengan keluarga semula. Kerana Allah S.W.T. telah menjanjikan kesempurnaan nikmat kepada ahli syurga. Hatta kalau pun orang yang hendak kita jumpa itu berada dalam neraka, Allah bisa menciptakan serupa dengannya bahkan lebih baik lagi. Wallahu'alam, tapi itulah kekuasaan Allah yang tiada batasnya. 



salah ke aku cakap? sebahagian ada landasan ilmu, sebahagian landasan akal. sekiranya terpesong, maka buangkan lah dan tegur la aku yang lemah ini. Allah juga yang berkuasa atas sesuatu.