Followers

30 December, 2014

EPISOD KEMATIAN

Tanggal 3 Disember 2014 bertepatan dengan 10 Safar 1436 Hijrah, aku kehilangan sebahagian hidup aku bila bonda yang tersayang kembali ke 'pangkuan' Rabbul Jalil yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sungguh aku redha... kerana perginya bonda meninggalkan hiruk pikuk dunia. Meninggalkan segala kesengsaraan dan ketidakadilan hidup. Namun, kesedihan tetap bersarang dalam dada. Kekesalan tetap menjadi tamu yang tak bisa disuruh pulang.

Dah lama aku nak update blog. Idea tak ada tapi rasa nak update jugak supaya blog ni tak 'bersawang' dan follower tak bosan. Tapi kerja membataskan aku. Tangguh punya pasal tak sangka akan update citer pasal pemergian emak.

Husnul Khotimah. Insya Allah. Arwah emak yang aku panggil Mami, Zauyah bt Mohamad diangkat oleh Allah SWT dalam husnul khotimah. Sedekahkan al Fatihah buat beliau. 

Banyak tanda-tanda baik yang buat aku yakin Mami dapat husnul khotimah, insya Allah. Pengurusan arwah senang dan cepat, wajahnya tenang dan sejuk dipandang, badannya macam berpeluh dan suam di beberapa tempat seolah-olah baru meninggal walhal sudah hampir 8 jam dan begitu ramai mereka yang melawat walaupun diberitahu dalam masa yang singkat. Ada yang terpaksa memandu sehingga 3 jam tapi Allah SWT bagi kesempatan tengok wajah arwah. Kubur arwah satu-satunya masa itu ikut arah kiblat yang betul kerana majlis agama Islam baru sahaja buat penentuan semula arah kiblat dan hampir dengan sebuah pohon rendang yang bayang pohon itu sentiasa meneduhkan kubur Mami.

Pemergian Mami agak mengejutkan kami sekeluarga. Mami ngadu sakit dan kembung perut pada hari Isnin, mungkin sebab salah makan. Pada pagi Selasa lepas sarapan, dia bagitau nak berehat dalam bilik. Tengah hari tu keluarga tengok dia dah separa sedar. Call ambulan dan dihantar ke hospital. Jam 2 petang masuk bilik rawatan hinggalah 10 malam. Bila dikeluarkan dari bilik rawatan, keadaannya tak sedarkan diri tapi doktor  kata bergantung kepada kemampuan badannya untuk sedar. Kata doktor, Mami ada masalah pada hati. Ketentuan Allah SWT siapa yang boleh halang, dengan rahmat-Nya, Mami pergi jam 1.35 pagi hari Rabu.

Mami aktif berzanji dan ada group berzanji yang rata-rata orang pencen. Di saat akhirnya, dia ke sana ke mari berzanji. Dia jugak join kelas mengaji al-Quran. Dia nak betulkan lagi bacaan Qurannya padahal dia fasih baca Quran. Mami ada cakap mereka akan khatam Quran tak lama lagi. Tinggal 5 juzuk lagi tapi terpaksa tangguh sebab gurunya nak ke Langkawi. Tapi Mami pergi dulu bila gurunya kembali. Kami adik beradik setuju nak khatamkan Quran bagi pihak Mami di rumah. Dan tak sangka pulak group mengaji Mami pun nak khatamkan Quran jugak khas untuk Mami. Mereka sanggup buat untuk dia.

Mami nampak macam dah sedia nak pergi. Dia kemas rumah dan halaman. Pasu pokok bunganya disusun kemas. Mami beli barang dapur begitu banyak. Padahal biasanya kakak dan abah yang beli. Antara yang jadi kenangan adalah air kotak durian belanda. Sebelum ni Mami tak suka beli air kotak. Bila kakak tanya kenapa beli, katanya nak bagi pada abah supaya minum air yang berzat.

Mami memang sayang abah. Minggu-minggu terakhir, dia selalu tanya abah nak makan apa dia nak masak. Bila abah jawab masak apa-apa je lah, dia akan desak abah supaya bagitau. Mami jugak mintak pakaian abah yang rosak untuk dibaiki. Seminggu sebelum pergi, Mami ajak abah ke Tabung Haji untuk buat rayuan haji. Kalau ikut kuota mereka, memang tahun 2015 tapi atas nasihat kawan Mami nak buat rayuan lagi. Masa tu jugak Mami suruh abah jadi penama bagi akaun Tabung Haji Mami. Semua itu Allah SWT atur dengan begitu cantik. Dua minggu Mami pergi, kami dapat surat Tabung Haji kata Mami dan abah dapat pergi haji tahun 2015. Pada aku, Mami dah haji walaupun hakikatnya belum. Mukanya berseri dan tenang semasa dikafan. Sama seperti hajah yang baru pulang dari Mekah. Insya Allah mudah-mudahan Allah SWT menerima niat Mami.

Mami ada seorang sahaja cucu lelaki umur baru nak masuk 3 tahun. Mami pernah cakap, dia taknak rapat sangat dengan cucunya supaya dia tak teringat-ingatkan Mami. Dia mahu cucu itu rapat dengan abah. Sekarang baru kami faham maksud ayat yang Allah keluarkan dari bibir Mami tu. Ditakdirkan Allah SWT, Mami dan cucunya begitu rapat sebelum Mami pergi. Mereka bermain sama-sama, buat kerja rumah sama-sama dan waktu mandi, cucunya nak Mami mandikan dan tak mahu Mak Ucu yang biasa dok mandikan dia. Lebih ajaib, bila Mami pergi, cucunya tak pernah tanya di mana Tok Mami. Tak sebut langsung. Tapi aku ajarkan dia, kalau orang tanya di mana Tok Mami, jawablah yang Tok Mami berjumpa Tuhan.

Beberapa hari sebelum Mami pergi, ada seekor kucing sakit tumpang tinggal di kawasan rumah dan bercampur dengan kucing kami. Mami bagi kucing tu makan. Mami kata pada adik aku, ni kucing abah dan abah suruh bagi makan. Sepanjang 3 hari kami buat tahlil untuk Mami, aku perhatikan kucing ni sentiasa ada dalam majlis tu. Dok diam jer kat bawah kerusi atau meja tempat hidangan. Seperti mahu sama-sama bagi penghormatan pada arwah Mami. Dan lebih kurang 7 hari pemergian Mami, aku dah tak jumpa lagi kucing tu. Allah SWT yang mengetahui sebab dan maksud kucing tu sebab Allah SWT tak melakukan sesuatu dengan sia-sia.
Majlis tahlil Mami adalah majlis yang meriah walaupun keluarga dalam suasana sedih. Hari pertama, pihak taman bermurah hati untuk buat segala persiapan. Hari kedua dan ketiga sedara mara pulak bermurah hati menolong. Allahuakbar. Siapa lagi yang gerakkan hati-hati mereka kalau bukan Allah SWT. Dan semua ini untuk Mami. Hari ketiga tahlil, imam yang datang tu terkejut dengan ramainya bilangan yang hadir. Kanak-kanak pun ramai. Malah anggota Bomba datang dengan sebuah van dari balai bomba yang perjalanannya mengambil masa 20 minit. Anggota Bomba ini bukan kawan Mami tapi kawan pakcik tetapi siapa yang gerakkan hati mereka dan bagi kelapangan masa untuk mereka datang kalau bukan Allah SWT dan ini semua untuk Mami.

Satu lagi sikap Mami, dia suka ke rumah adik beradiknya dan bawak sikit juadah kuih muih atau lauk pauk yang dia masak. Kadang-kadang 3 biji cekodok pun Mami bawak untuk adiknya sebab katanya cekodok tu kegemaran adiknya. Kadang-kadang Mami jugak gemar telefon adik beradiknya, kawan-kawannya malah anak-anaknya untuk bertanya khabar. Dia ada satu buku telefon yang ada semua nombor mereka. Abah gunakan buku ni sewaktu nak bagitau pasal pemergian Mami. 

Selalu pesanan yang keluar bila Mami telefon anak-anak, sembahyang macam mana? Tolong sembahyang di awal waktu. Itu jer yang Mami nak. Antara pesanan terakhir sehari sebelum Mami sakit, dia minta anak-anak supaya tidak berdendam dengan sedara mara. Mami bagitau dia sendiri sudah maafkan semua sedara mara dan orang-orang yang mungkin khianat dengannya.

Allahuakbar. Kalau ditanya aku apa kelebihan Mami. Pada aku, bukan berzanji atau baca al-Quran. Tapi kelebihan Mami kerana Mami suka menyambungkan silaturrahim. Dia selalu nak jadi orang tengah bila adik beradiknya tidak bertegur sapa. Dia akan pujuk sorang demi sorang supaya berbaik semula. Setakat yang aku tau, dia berjaya walaupun masa yang diambil itu bukan sebulan dua. Makan tahun. Pada majlis tahlil hari ketiga, masa tetamu tengah makan, Allah SWT turunkan hujan. Ya Allah, di sini aku nampak Allah SWT memuliakan majlis tahlil Mami. Apabila hujan turun, ramai tetamu ambil masa untuk berbual-bual sementara hujan reda. Di situ silaturrahim jelas kelihatan kerana ada antara mereka sedara aku yang tidak bertegur sapa kerana berselisih pendapat tetapi dapat berbual mesra semula. Ada juga kawan pakcik aku yang dah lama tak berjumpa dapat lepak bersama.

Allahuakbar. Pemergian Mami ini banyak meninggalkan kekesalan kepada anak-anak. Usah ditanya apa yang buat kami kesal. Macam-macam. Benarlah ayat al-Quran yang melarang kita berkata 'Uh' kepada ibu bapa. Andai kata sepanjang seorang hidup anak ini tidak pernah berbuat jahat kepada kedua-dua ibu bapanya, tetapi hanya satu kesalahan iaitu berkata 'Uh'. Aku rasa, satu kesalahan itu pun dah cukup buat anak itu kesal apabila ibu bapanya tiada. Apa lagi aku dan adik beradik aku. Antara ayat Mami yang kita tak akan lupa sampai bila-bila, Mami tak nak susahkan anak-anak. Dan Allah SWT kabulkan. Mami tak sempat nak susahkan kami, ke hospital dengan ambulan, masuk bilik rawatan dan keluar dalam keadaan tak sedar dan meninggal sebelum sempat kami menjaganya di wad.

Kalau drama Tanah Kubur, mungkin bila bercerita pasal husnul khotimah, kita hanya tengok pada mayat yang bercahaya atau berbau wangi. Bagi aku kesan episod kematian husnul khotimah yang sebenar bukan sahaja kesan baik pada fizikal arwah tetapi kesan baik kepada orang di sekelilingnya.  Kami adik beradik banyak bermuhasabah diri selepas Mami tiada. Sedara mara pun ada yang terjalin kembali silaturrahim masa majlis tahlil. Ini adalah kesan positif yang ditinggalkan oleh Mami kepada orang sekeliling. Insya Allah, Allah SWT memberi ganjaran pahala untuk Mami.

Aku sebenarnya bekerja di Negeri Sembilan. Malam Mami pergi, aku di dalam bas perjalanan Seremban ke Kuala Terengganu untuk pulang bersama-sama keluarga yang lain di hospital. Namun, ketetapan takdir mengatasi segalanya. Namun, Mami tinggalkan satu keajaiban untuk aku. Dia hadiahkan aku seutas jam hadiah harijadi dan ditinggalkan di bilik aku. Tak seorang pun tau kecuali adik perempuan aku, itu pun kebetulan adik aku ada masa Mami nak beli jam tu. Kalau ikut kebiasaan, dia hanya bagi duit sebagai hadiah. Sebenarnya harijadi aku 18 Januari nanti. Mami sepatutnya boleh simpan hadiah itu dan tunggu aku pulang pada bulan Januari nanti untuk bagi hadiah tu tapi Mami tak buat begitu. Itulah gerak geri yang sudah ditentukan Allah SWT untuk dia. 

Aku selalu pesan kepada rakan yang tidak dapat pekerjaan. Janganlah dirunsingkan pasal kerja, kerana belum pernah aku berjumpa orang yang sampai matinya tak ada kerja. Tapi gunakanlah masa mengganggur anda untuk mendampingi orang tua anda sebab setelah anda kerja, anda mungkin tak ada masa pun untuk menjengok mereka. Anda kata anda bekerja untuk bagi wang kepada mereka. Saat usia mereka seperti sekarang, bukan wang yang mereka mahukan tetapi perhatian dan diri anda yang sentiasa berada di samping mereka. 

salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe