Followers

30 December, 2014

EPISOD KEMATIAN

Tanggal 3 Disember 2014 bertepatan dengan 10 Safar 1436 Hijrah, aku kehilangan sebahagian hidup aku bila bonda yang tersayang kembali ke 'pangkuan' Rabbul Jalil yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sungguh aku redha... kerana perginya bonda meninggalkan hiruk pikuk dunia. Meninggalkan segala kesengsaraan dan ketidakadilan hidup. Namun, kesedihan tetap bersarang dalam dada. Kekesalan tetap menjadi tamu yang tak bisa disuruh pulang.

Dah lama aku nak update blog. Idea tak ada tapi rasa nak update jugak supaya blog ni tak 'bersawang' dan follower tak bosan. Tapi kerja membataskan aku. Tangguh punya pasal tak sangka akan update citer pasal pemergian emak.

Husnul Khotimah. Insya Allah. Arwah emak yang aku panggil Mami, Zauyah bt Mohamad diangkat oleh Allah SWT dalam husnul khotimah. Sedekahkan al Fatihah buat beliau. 

Banyak tanda-tanda baik yang buat aku yakin Mami dapat husnul khotimah, insya Allah. Pengurusan arwah senang dan cepat, wajahnya tenang dan sejuk dipandang, badannya macam berpeluh dan suam di beberapa tempat seolah-olah baru meninggal walhal sudah hampir 8 jam dan begitu ramai mereka yang melawat walaupun diberitahu dalam masa yang singkat. Ada yang terpaksa memandu sehingga 3 jam tapi Allah SWT bagi kesempatan tengok wajah arwah. Kubur arwah satu-satunya masa itu ikut arah kiblat yang betul kerana majlis agama Islam baru sahaja buat penentuan semula arah kiblat dan hampir dengan sebuah pohon rendang yang bayang pohon itu sentiasa meneduhkan kubur Mami.

Pemergian Mami agak mengejutkan kami sekeluarga. Mami ngadu sakit dan kembung perut pada hari Isnin, mungkin sebab salah makan. Pada pagi Selasa lepas sarapan, dia bagitau nak berehat dalam bilik. Tengah hari tu keluarga tengok dia dah separa sedar. Call ambulan dan dihantar ke hospital. Jam 2 petang masuk bilik rawatan hinggalah 10 malam. Bila dikeluarkan dari bilik rawatan, keadaannya tak sedarkan diri tapi doktor  kata bergantung kepada kemampuan badannya untuk sedar. Kata doktor, Mami ada masalah pada hati. Ketentuan Allah SWT siapa yang boleh halang, dengan rahmat-Nya, Mami pergi jam 1.35 pagi hari Rabu.

Mami aktif berzanji dan ada group berzanji yang rata-rata orang pencen. Di saat akhirnya, dia ke sana ke mari berzanji. Dia jugak join kelas mengaji al-Quran. Dia nak betulkan lagi bacaan Qurannya padahal dia fasih baca Quran. Mami ada cakap mereka akan khatam Quran tak lama lagi. Tinggal 5 juzuk lagi tapi terpaksa tangguh sebab gurunya nak ke Langkawi. Tapi Mami pergi dulu bila gurunya kembali. Kami adik beradik setuju nak khatamkan Quran bagi pihak Mami di rumah. Dan tak sangka pulak group mengaji Mami pun nak khatamkan Quran jugak khas untuk Mami. Mereka sanggup buat untuk dia.

Mami nampak macam dah sedia nak pergi. Dia kemas rumah dan halaman. Pasu pokok bunganya disusun kemas. Mami beli barang dapur begitu banyak. Padahal biasanya kakak dan abah yang beli. Antara yang jadi kenangan adalah air kotak durian belanda. Sebelum ni Mami tak suka beli air kotak. Bila kakak tanya kenapa beli, katanya nak bagi pada abah supaya minum air yang berzat.

Mami memang sayang abah. Minggu-minggu terakhir, dia selalu tanya abah nak makan apa dia nak masak. Bila abah jawab masak apa-apa je lah, dia akan desak abah supaya bagitau. Mami jugak mintak pakaian abah yang rosak untuk dibaiki. Seminggu sebelum pergi, Mami ajak abah ke Tabung Haji untuk buat rayuan haji. Kalau ikut kuota mereka, memang tahun 2015 tapi atas nasihat kawan Mami nak buat rayuan lagi. Masa tu jugak Mami suruh abah jadi penama bagi akaun Tabung Haji Mami. Semua itu Allah SWT atur dengan begitu cantik. Dua minggu Mami pergi, kami dapat surat Tabung Haji kata Mami dan abah dapat pergi haji tahun 2015. Pada aku, Mami dah haji walaupun hakikatnya belum. Mukanya berseri dan tenang semasa dikafan. Sama seperti hajah yang baru pulang dari Mekah. Insya Allah mudah-mudahan Allah SWT menerima niat Mami.

Mami ada seorang sahaja cucu lelaki umur baru nak masuk 3 tahun. Mami pernah cakap, dia taknak rapat sangat dengan cucunya supaya dia tak teringat-ingatkan Mami. Dia mahu cucu itu rapat dengan abah. Sekarang baru kami faham maksud ayat yang Allah keluarkan dari bibir Mami tu. Ditakdirkan Allah SWT, Mami dan cucunya begitu rapat sebelum Mami pergi. Mereka bermain sama-sama, buat kerja rumah sama-sama dan waktu mandi, cucunya nak Mami mandikan dan tak mahu Mak Ucu yang biasa dok mandikan dia. Lebih ajaib, bila Mami pergi, cucunya tak pernah tanya di mana Tok Mami. Tak sebut langsung. Tapi aku ajarkan dia, kalau orang tanya di mana Tok Mami, jawablah yang Tok Mami berjumpa Tuhan.

Beberapa hari sebelum Mami pergi, ada seekor kucing sakit tumpang tinggal di kawasan rumah dan bercampur dengan kucing kami. Mami bagi kucing tu makan. Mami kata pada adik aku, ni kucing abah dan abah suruh bagi makan. Sepanjang 3 hari kami buat tahlil untuk Mami, aku perhatikan kucing ni sentiasa ada dalam majlis tu. Dok diam jer kat bawah kerusi atau meja tempat hidangan. Seperti mahu sama-sama bagi penghormatan pada arwah Mami. Dan lebih kurang 7 hari pemergian Mami, aku dah tak jumpa lagi kucing tu. Allah SWT yang mengetahui sebab dan maksud kucing tu sebab Allah SWT tak melakukan sesuatu dengan sia-sia.
Majlis tahlil Mami adalah majlis yang meriah walaupun keluarga dalam suasana sedih. Hari pertama, pihak taman bermurah hati untuk buat segala persiapan. Hari kedua dan ketiga sedara mara pulak bermurah hati menolong. Allahuakbar. Siapa lagi yang gerakkan hati-hati mereka kalau bukan Allah SWT. Dan semua ini untuk Mami. Hari ketiga tahlil, imam yang datang tu terkejut dengan ramainya bilangan yang hadir. Kanak-kanak pun ramai. Malah anggota Bomba datang dengan sebuah van dari balai bomba yang perjalanannya mengambil masa 20 minit. Anggota Bomba ini bukan kawan Mami tapi kawan pakcik tetapi siapa yang gerakkan hati mereka dan bagi kelapangan masa untuk mereka datang kalau bukan Allah SWT dan ini semua untuk Mami.

Satu lagi sikap Mami, dia suka ke rumah adik beradiknya dan bawak sikit juadah kuih muih atau lauk pauk yang dia masak. Kadang-kadang 3 biji cekodok pun Mami bawak untuk adiknya sebab katanya cekodok tu kegemaran adiknya. Kadang-kadang Mami jugak gemar telefon adik beradiknya, kawan-kawannya malah anak-anaknya untuk bertanya khabar. Dia ada satu buku telefon yang ada semua nombor mereka. Abah gunakan buku ni sewaktu nak bagitau pasal pemergian Mami. 

Selalu pesanan yang keluar bila Mami telefon anak-anak, sembahyang macam mana? Tolong sembahyang di awal waktu. Itu jer yang Mami nak. Antara pesanan terakhir sehari sebelum Mami sakit, dia minta anak-anak supaya tidak berdendam dengan sedara mara. Mami bagitau dia sendiri sudah maafkan semua sedara mara dan orang-orang yang mungkin khianat dengannya.

Allahuakbar. Kalau ditanya aku apa kelebihan Mami. Pada aku, bukan berzanji atau baca al-Quran. Tapi kelebihan Mami kerana Mami suka menyambungkan silaturrahim. Dia selalu nak jadi orang tengah bila adik beradiknya tidak bertegur sapa. Dia akan pujuk sorang demi sorang supaya berbaik semula. Setakat yang aku tau, dia berjaya walaupun masa yang diambil itu bukan sebulan dua. Makan tahun. Pada majlis tahlil hari ketiga, masa tetamu tengah makan, Allah SWT turunkan hujan. Ya Allah, di sini aku nampak Allah SWT memuliakan majlis tahlil Mami. Apabila hujan turun, ramai tetamu ambil masa untuk berbual-bual sementara hujan reda. Di situ silaturrahim jelas kelihatan kerana ada antara mereka sedara aku yang tidak bertegur sapa kerana berselisih pendapat tetapi dapat berbual mesra semula. Ada juga kawan pakcik aku yang dah lama tak berjumpa dapat lepak bersama.

Allahuakbar. Pemergian Mami ini banyak meninggalkan kekesalan kepada anak-anak. Usah ditanya apa yang buat kami kesal. Macam-macam. Benarlah ayat al-Quran yang melarang kita berkata 'Uh' kepada ibu bapa. Andai kata sepanjang seorang hidup anak ini tidak pernah berbuat jahat kepada kedua-dua ibu bapanya, tetapi hanya satu kesalahan iaitu berkata 'Uh'. Aku rasa, satu kesalahan itu pun dah cukup buat anak itu kesal apabila ibu bapanya tiada. Apa lagi aku dan adik beradik aku. Antara ayat Mami yang kita tak akan lupa sampai bila-bila, Mami tak nak susahkan anak-anak. Dan Allah SWT kabulkan. Mami tak sempat nak susahkan kami, ke hospital dengan ambulan, masuk bilik rawatan dan keluar dalam keadaan tak sedar dan meninggal sebelum sempat kami menjaganya di wad.

Kalau drama Tanah Kubur, mungkin bila bercerita pasal husnul khotimah, kita hanya tengok pada mayat yang bercahaya atau berbau wangi. Bagi aku kesan episod kematian husnul khotimah yang sebenar bukan sahaja kesan baik pada fizikal arwah tetapi kesan baik kepada orang di sekelilingnya.  Kami adik beradik banyak bermuhasabah diri selepas Mami tiada. Sedara mara pun ada yang terjalin kembali silaturrahim masa majlis tahlil. Ini adalah kesan positif yang ditinggalkan oleh Mami kepada orang sekeliling. Insya Allah, Allah SWT memberi ganjaran pahala untuk Mami.

Aku sebenarnya bekerja di Negeri Sembilan. Malam Mami pergi, aku di dalam bas perjalanan Seremban ke Kuala Terengganu untuk pulang bersama-sama keluarga yang lain di hospital. Namun, ketetapan takdir mengatasi segalanya. Namun, Mami tinggalkan satu keajaiban untuk aku. Dia hadiahkan aku seutas jam hadiah harijadi dan ditinggalkan di bilik aku. Tak seorang pun tau kecuali adik perempuan aku, itu pun kebetulan adik aku ada masa Mami nak beli jam tu. Kalau ikut kebiasaan, dia hanya bagi duit sebagai hadiah. Sebenarnya harijadi aku 18 Januari nanti. Mami sepatutnya boleh simpan hadiah itu dan tunggu aku pulang pada bulan Januari nanti untuk bagi hadiah tu tapi Mami tak buat begitu. Itulah gerak geri yang sudah ditentukan Allah SWT untuk dia. 

Aku selalu pesan kepada rakan yang tidak dapat pekerjaan. Janganlah dirunsingkan pasal kerja, kerana belum pernah aku berjumpa orang yang sampai matinya tak ada kerja. Tapi gunakanlah masa mengganggur anda untuk mendampingi orang tua anda sebab setelah anda kerja, anda mungkin tak ada masa pun untuk menjengok mereka. Anda kata anda bekerja untuk bagi wang kepada mereka. Saat usia mereka seperti sekarang, bukan wang yang mereka mahukan tetapi perhatian dan diri anda yang sentiasa berada di samping mereka. 

salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe

25 September, 2014

Allah Bayar Cash

Bukan susah pada Allah SWT untuk bayar cash atas apa yang kita buat. DIA SWT Maha Berkuasa. Kalau lepas sembahyang tiba-tiba duit RM1000 jatuh dari langit... Tentu berebut orang sembahyang. Lima waktu dah RM5000. Kalau seminggu dah RM35000. Kalau sebulan, RM140,000. Kalau setahun??

Siapa agaknya nak bekerja kalau macam ni punya untung hanya dengan sembahyang. Hehe... Begitu jugak kalau kejahatan DIA SWT bayar 'cash' atau terus bagi hukuman. Agaknya tak ada siapa berani buat jahat. Dan semua manusia mesti takut kepada Allah SWT. Bahkan mungkin ada yang mengganggap Allah zalim sebab terus menghukum mereka... Nauzubillahi min zalik. Maha Suci Allah daripada diperkatakan demikian.

Hujung minggu lepas, aku join satu camping atau lebih tepat kursus asas perkhemahan. Selepas solat maghrib, kami ke dewan makan untuk makan malam. Penganjur camping ni bagi kitorang makan kat dewan sebab ini bukan perkhemahan sebenar.

Bila dah dok kat meja makan tu, bersembanglah jawabnya. Tengah rancak bersembang, tiba-tiba dengar azan isyak. Ada sorang jerit, "Diam... diam... Azan"

Ada yang diam terus. Ada yang bercakap tapi perlahan. Rupanya azan tu datang daripada henfon kawan yang pakai aplikasi azan untuk setiap waktu sembahyang. Masa tu dia ngah berjalan nak amik air minum.

Selamber aku cakap, "Ooo.. azan bergerak rupanya". Member lain ketawa. Terlintas di hati aku yang secara tak sengaja telah menjadikan azan tu bahan gurauan. Ya Allah, aku takut.. aku tau aku salah.

Selesai makan, nak balik ke dewan aktiviti, aku lalu jalan belakang dewan makan. Dari situ lebih dekat. Dalam cahaya samar-samar, dengan selipar jepun yang dah haus bunga tapaknya aku melangkah.

Gedebok!!! Aku licin dan jatuh terduduk. Bahagian tepi kaki kiri dah terasa pedih. Luka. Oh, ya Allah. Agaknya ni la Allah bayar cash kat aku sebab melawak camtu. Aku redha ya Allah kalau Engkau hapuskan dosa melawak tu dengan luka ini. Peringatan Mu ini amat berkesan kepada aku. Dan Engkau ya Allah masih bersikap rahmah kepada aku kerana memberi peringatan dengan kesakitan yang kecil ini. Alhamdulillah.



salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe

15 September, 2014

Macam biasa...

Hari Isnin..
Bangun pagi... macam biasa.
Minum air mineral... macam biasa.
Sembahyang subuh.. macam biasa.
Mandi... macam biasa.
Iron baju keje... macam biasa.
Siap untuk gi keje... macam biasa.
Hari Isnin, puasa sunat... macam biasa.

Jap...
Jap... jap...
Rewind balik....

Hari Isnin, puasa sunat.. Ok. Emm... bangun tido... minum air mineral?? Hah! Kan masa aku minum tu dah subuh!

Hahaha... kes terlupa. Maklumla, puasa sunat hari Isnin ni kadang-kadang jer buat. Nasib baik teringat hadis Nabi Muhammad s.a.w., baginda bagitau kalau kita lupa sebenarnya Allah S.W.T yang memberikan kita makan atau minum. Jadi aku teruskan puasa tu.

Jadi kalau sesiapa yang tak sengaja makan atau minum padahal dia puasa, teruskan saja puasa. Bukan teruskan makan. Kalau dah sedar, muntahkan baki dan bilas mulut tu. Senang jer pun. Kalau tersalah tu makan nasi sepinggan atau pizza seloyang pun, syukur la. Alhamdulillah. Itu Allah S.W.T yang bagi kamu makan.


salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe

05 September, 2014

BiAr aKU mEnGAruT

Assalamualaikum kepada sesiapa di luar sana.

Biar aku mengarut di blog aku kali ni. Lama dah tak tulis entry. Rindu pada blog ni ada. Tersemat di satu sudut hati.

Alhamdulillah. Hari ni rekod tak menghapdet blog pecah juga akhirnya. Walaupun bukan ada entry yang best, namun sekurang-kurangnya ini post baru yang akan memberi nafas semula pada blog ini. Ada pembaca ke? Aku yang malas nak update sebab rasa macam tak ade sape nak baca. Kalau ada, aku mintak maaf banyak-banyak sebab menyebabkan korang fed up ngan blog ni yang tak berhapdet.

Hari ni hujan turun setelah beberapa hari tak hujan. Tak la lebat, tapi ok. Hujan menyejukkan kita. Menyejukkan suasana sekeliling kita. Hati yang panas pun boleh sejuk bila kat luar tu sejuk disebabkan hujan. Memang best. Dapat tido lagi la best. Berganda-ganda best.

Panas bukan tak best. Best jugak. Cuma sejuk ni memang ramai orang suka. Minum pun nak taruk ais kan? Senang cakap, kedua-dua pun ada kelebihan dan kekurangan. Itu pada pandangan mata kita, manusia... hakikatnya Allah jadikan kedua-duanya sempurna.

Cuma kalau panas yang maksudnya marah itu memang tak berapa nak best. Baik orang yang kena marah rasa tak best, yang marah tu pun sebenarnya ada rasa tak best jugak. Namun, banyak pula hal yang berlaku di sekeliling kita mudah buat kita marah.

Meh la kita cuba kontrol marah kita. Apa salahnya menyelesaikan perkara dengan senyum. Marah hanya buat kita emosional. Pertimbangan jadi singkat. Kawan jadi lawan. Banyak hati akan terguris. Kadang-kadang marah hanya tambah dosa pada kita.

Susah memang susah untuk taknak marah. Lagi la pulak, Allah sering menguji kita dengan perkara-perkara yang kita tak suka. Namun, kesabaran dan kejayaan mengharungi ujian Allah adalah kemanisan iman yang tiada tolok bandingnya. Wallahu'alam. Alhamdulillah & Astargfirullah. 
salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe

18 June, 2014

9 Hari Tanpa Internet

Dari 1 Jun hingga 9 Jun 2014... sudah 9 hari aku takder internet. Quota internet dah sampai limit. Ni hari terakhir sebelum quota tu clear balik esok, 10 Jun. Apa agaknya rasa hidup tanpa internet? Biasa? Huuuu, Taaakk!!! Zaman sekarang takder internet tu tak biasa!

Jelesss!

Tu first aku rasa tengok member-member berinternet ngan henfon dan aku tak. Nak buat macam mana kan? Biasanya kalau quota habis, aku topup balik. Call center Maxis. Nak buat kat web pun boleh, tapi tak reti. Kali ni aku taknak topup sebab minggu ni aku ada exam. Konon... study. :p

Tak dapat nak wechat... tak dapat nak fesbok... tak dapat nak wassap. Kalau dulu, benda-benda ni la selalu aku buat time rehat, baring... time nak tido ker, depan tv atau masa kerja!! Hahahaha.... Sekarang bila stop, rasa macam banyak masa pulak. Tido pun boleh awal sikit. Masa ngeteh (lepak di kedai makan) boleh la mengadap kawan. Takder la dok pandang henfon aje, seperti masa ada internet.

Ringkas cerita... kuranglah sikit benda lagho yang aku buat. Buku pun terbuka la sikit. Kalau sebelum ni, tiap kali aku nak buka buku jer... gi buka fesbok kat henfon. Pastu wechat. Bila tengok jam dah tengah malam, tutup buku dan tido. Tu pun sebelum tido, main internet lagi. Huuuii.

Seriously, internet memang buat aku lagho. Kadang-kadang, pas sembahyang jer terus capai henfon. Atas tikar sejadah lagi tu. Apa la nak jadi aku ni kan?

9 hari tanpa internet sedikit sebanyak mengajar aku yang sebenarnya aku ni dah banyak buang masa. Bukan salah internet. Ia hanya medium. Aku yang guna ni... yang tak betul. Korang kat luar macam mana? Macam aku juga?? Mungkin kita perlu ambil masa sikit untuk renung-renungkan kembali apa yang kita  buat. Kemodenan akan sentiasa berkembang. Manusia akan mengikutinya. Cuma ke mana manusia membawa dirinya dalam kemodenan ini yang akan menentukan hala tuju mereka.

DIA SWT  ini terlalu baik dengan kita. Terlalu ambil berat.. Maha Baik dan Maha Mengambil berat. DIA SWT menyentuh hati aku dengan cara meniadakan internet. Walaupun kesedaran ini sedikit dan mungkin bagai angin lalu, namun kesedaran ini mengingatkan aku sebagai hamba-Nya yang selalu lupa dan lalai. Sekali sekala apa salahnya takder internet kalau kita boleh mengingati DIA SWT.

salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe

14 April, 2014

DIA SWT itu Dekat Tapi Jauh

Alhamdulillah, aku panjatkan syukur kepada-Nya. Sewaktu post ini ditulis, aku baru saja kembali daripada menikmati hujung minggu di Perlis. Pergi atas urusan kerja dan dalam pada itu mengambil kesempatan melapangkan fikiran yang penuh sarat dengan masalah kerja dan perasaan.

Sempat aku berkunjung ke Padang Besar, yang selama ini hanya mendengar namanya daripada bibir-bibir manusia yang pernah berkunjung ke sana. Sempat juga aku 'merembat' sehelai t-shirt Superman yang mungkin agak keterlaluan bagi orang seperti aku yang sudah masuk 3 series ni. Ah, lantak ler janji minat. Tak banyak membeli-belah, sekadar 2 paket key-chain dibungkus pukal untuk 'menjamu' rakan ofis sekembali ke Nilai. Diet aku... memang tah ke mana. Di mana rombongan singgah makan, di situ la aku sibuk mengorder makanan yang teringin nak makan.

Antara makanan yang sempat aku try, pulut mangga sebab terpengaruh ngan cerita Kak Nida. Bukan nak kata tak sedap, tapi mungkin nasib aku tak berapa baik dapat kuah santan yang kelapanya sedikit tengik. Makan besar di Kuala Perlis, ikan jenahak dimasak 3 rasa bersama sotong goreng tepung dan udang masak cabai. Ditambah sepinggan telur bungkus dan sepiring ulaman beserta air asam dan sambal belacan. Fuuh... best walaupun harga mencecah seratus disebabkan makan berempat. Ok la tu...

Ke mana pun kita pergi, jauh ke dekat ke, dalam negara atau luar negara, DIA SWT sentiasa bersama kita. Dan sembahyang itu WAJIB walau dalam apa keadaan sekalipun ke atas diri setiap manusia, tidak kira mereka berada di mana dan dalam apa jua keadaan.

Sungguh DIA SWT sentiasa bersama dengan kita. Kita mengakui dan percaya. Urusan alam ini takkan begitu sempurna kalau bukan kerana adanya DIA SWT. Pokok-pokok yang menghijau, berbuah dan ada yang menggugurkan daun-daunnya setelah berhari kepanasan, semua bukti adanya ketetapan daripada DIA SWT. Binatang seperti burung yang berterbangan, hinggap di bingkai-bingkai tingkap, bersiulan dan bergurau sesama mereka juga bukti DIA SWT mencipta kehidupan.

Bahkan diri kita sendiri yang bernafas dan masih belum mati, bergerak dan berhubung dengan manusia lain. Menjalinkan hubungan perasaan yang kompleks, ada tawa, ada tangis, ada rindu dan ada benci. Siapa yang hadirkan itu semua pada diri kita kalau bukan DIA SWT. 

Sungguh DIA SWT itu terlalu dekat. Kita tahu, yang jarak yang membezakan kita dengan DIA SWT hanyalah kematian. Sewaktu roh mula berpisah daripada badan, segala kebenaran itu akan makin jelas. Dosa... pahala... yang selama ini diwar-warkan kepada kita makin ketara memainkan peranan. Agaknya sampai masa itu, baru ketakutan merambart jiwa.

DIA SWT itu terlalu dekat sebenarnya. DIA SWT ada di saat kita memerlukan-Nya. Serulah dalam doa, nescaya DIA SWT menyambutnya. DIA SWT ada di saat kita lupa. Kita mungkin seronok bergembira dengan segala macam agenda hidup dan DIA SWT sentiasa melihat apa yang kita perbuat.

DIA SWT itu terlalu dekat bahkan amat dekat. Sewaktu Jibril a.s bertanya apakah itu ihsan, maka dijawab Dia SAW bahawa ihsan itu kamu beribadah seolah-olah kamu melihat Allah SWT, tetapi sekiranya kamu tidak boleh melihat DIA SWT, maka yakinlah Allah SWT melihat kamu.

Betapa pentingnya kita merasai kehadiran DIA SWT. Kehadiran-Nya adalah benar dan janganlah nafsu kita melalaikan kita daripada menyedarinya. Gagal menyedari hadirnya DIA SWT menyebabkan kita merasakan DIA SWT jauh. Tidakkkk! DIA SWT tidak akan jauh sampai bila-bila. DIA SWT tidak akan jauh sampai kiamat. 

Sebab itu, kita kena berusaha menghadirkan DIA SWT (maknanya sentiasa mengingati Allah SWT) di dalam sembahyang kerana sembahyang yang sedemikian itulah sembahyang yang mempunyai ruh sembahyang. Sembahyang yang sedemikian itulah mempunyai kemampuan untuk mencegah mungkar dari terus bersemadi di dalam diri. Sembahyang  sedemikian itulah yang akan diangkat ke langit. Sembahyang sedemikian itulah yang akan menyebabkan buku amalan diterima dengan tangan kanan. Oh, mengapa manusia itu masih mampu tidak bersembahyang sedangkan DIA SWT itu begitu dekat? 

Ya Allah, sesungguhnya aku juga tidak kuat sebagaimana hamba-hamba-Mu yang Engkau beri mereka kekuatan dalam beramal kepada-Mu. Ya Allah, berikan aku pengampunan ke atas dosa yang aku lakukan dalam sedar mahupun tidak sedar. Ya Allah, aku menulis bukan kerana aku sempurna melainkan aku cuba untuk beramal dengan sedikit amal dan semoga redho-Mu di atas apa yang aku tulis, moga  Engkau izinkan aku ke syurga-Mu dengan berkat syafaat Nabi SAW dan dengan redho-Mu. 


salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe

09 April, 2014

DIA SWT itu sangat penyayang..

Hujan turun dengan lebat petang ni. Walaupun sekejap, cukuplah membasahi bumi yang tengah kering ni. Boleh katakan minggu ni, asal petang jer hujan. Alhamdulillah.

Hari tu bukan main kering lagi bumi Nilai ni. Panasnya memang... thorrrbaikk! Sana sini semak-semak terbakar. Bomba pun dah tak boleh buat ape dah.. datang... pantau... aku rasa cam tengok jer. Pastu balik ke balai. Hehehe... bukan salah bomba. Api tu marak dan cepat merebak. Cumanya terbakar tu tak melibatkan tempat tinggal manusia jer. Boleh rileks lagi la... just padam yang mana berisiko mengundang kebakaran lagi teruk jer.

Bukan Nilai jer kering dan tandus. Blog aku ni  pun dah kering dan tandus, setandus tuan dia ni. Maaf, aku kekeringan idea.... eh, tak jugak. Idea ada, cuma mood takde. Err... tapi bila mood takde, idea tak datang lar. Emm, korang decide la sendiri sebab apa aku tak update blog ni.

Yang penting, korang harus tahu yang aku sayang blog aku niiii.... <3>

Ibarat bumi yang kadang kering kadang basah, kadang panas kadang hujan... begitu juga iman di dalam hati kita manusia. Ketandusan iman sukar aku gambarkan. Aku sendiri masih mencari maksud ketandusan iman dan kesuburan iman itu. Kita tahu yang kita adalah hamba DIA SWT, tetapi mengapa kita cepat lupa kepada-Nya. Kesedaran biasa datang sekejap. Mungkin ketika di tikar sejadah. Atau mungkin di situ pun kesedaran itu tak bertandang.

Oh, Allah Tuhanku.

Sembahyang tonggang tonggek... maksiat buat juga. Lagi hebat. Mengaji al-Quran macam-macam lagu, berhelai-helai mukasurat, maksiat tak tinggal jugak. Berzikir dah berzikir, tapi keinginan bermaksiat tak padam juga.

Umur ini sedang dibazirkan tanpa kita sedari. Masa makin suntuk dan dunia sendiri sedang menuju ke akhir zaman. Kelalaian masih  lagi bersahabat dengan kita. Oh, andai aku punya seribu kekuatan mahu aku buang maksiat itu jauh-jauh. Oh, tapi aku juga yang menjadi orang yang bersusah-susah mencari maksiat untuk dikembalikan. 

Oh, Allah.. ampunilah kami.

Ustaz Fawwaz ada mengatakan, dipetik daripada kata seorang ulama bahawa DIA SWT memanjangkan umur seseorang supaya manusia itu sedar yang dosanya banyak!!!!

Dan DIA SWT memanjangkan umur supaya manusia itu akhirnya BERTAUBAT!!!!!1

Ya Allah, betapa sayangnya DIA SWT kepada kita. Dia tidak akan membiarkan daerah kering itu tandus selama-lamanya tanpa air dari sifat penyayangnya.

Oh, Allah. Aku harap aku sayangkan KAMU seperti mana yang Engkau mahukan. Dan aku harap sayang aku itu bukan sayang dimulut. 


Allahurabbi.
  
Salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe