Followers

02 October, 2013

KESUSAHAN ITU PENGHAPUS DOSA

Oh sungguh tak sangka aku tidak post apa-apa entry untuk bulan September. Tak perasan, atau mungkin cepat masa berlalu. Mungkin juga... lalai.

****

Fendi berhentikan mesin rumput, lalu memandang aku dan Cikgu Maidin. "Telur ayam" katanya. Rupanya dalam semak setinggi pinggang itu, ada ibu ayam sedang mengeram telur. Mencicit lari bila lalang tempat dipotong. 

Haiwan ini tiada perasaan. DIA SWT mahukan mereka berkhidmat untuk manusia. Baik ayam atau telur, kedua-duanya untuk dimakan. Ibu ayam takkan sedih kalau telurnya diambil. Pastinya amat haruuu kalau ibu ayam menangis-nangis supaya telurnya tidak diambil. Bersyukurlah atas pemberian Tuhan ini.

****

Kesusahan itu penghapus dosa. Oleh itu, jangan benci pada kesusahan. Cuma ini janji DIA SWT untuk orang Islam saja. Bagi yang bukan Islam, kamu tidak termasuk dalam perjanjian Tuhan ALLAH SWT.

Mengapa tak masuk? Sebab kesetiaan, kepatuhan dan ketaatan kamu dalam beragama tidak sampai kepada Tuhan ALLAH SWT.

DIA SWT adalah Tuhan yang satu. Yang Maha Berkuasa. Manusia boleh berurusan dengan-Nya secara terus. Tanpa ada perantara atau wakil. Manusia boleh bermohon apa sahaja dengan melafaz doa kerana DIA SWT Maha Mendengar. DIA SWT Maha Suci dan tidak memerlukan apa-apa rekabentuk mewakili diri-Nya di dunia ini. Inilah ALLAH, Tuhan yang memilih Islam sebagai agama-Nya.

Aku manusia berdosa. Sesiapapun.... pasti berdosa. Oleh itu, tidak hairanlah kalau kita sering dilanda kesusahan. DIA SWT mahu hapuskan dosa kita. DIA SWT tidak mahu kita memikulnya di akhirat. Andainya di sana kita masih banyak dosa, ke nerakalah jawapnya. Sedangkan masa di akhirat pastinya lebih panjang. Dan hidup di sana pastinya kekal dan tidak mati. Maka, bila pengakhiran seksaan itu akan berakhir?

Hari yang kelam kabut dengan kerja. Dari malam lagi, aku sudah berada di pejabat untuk menyiapkan keperluan esoknya. Dengan harapan, esok pastinya lebih lancar. Peralatan yang akan digunakan dipasang sebahagian dan sebahagian yang lain ditinggalkan untuk pemasangan kemudian. 

Pagi esoknya, langsung tidak sempat nak bersarapan. Selesai punch in, aku terus bergegas ke Tesco. Aku kena dapatkan bahan mentah untuk digunapakai dalam kerja. Macam orang gila isim. Tolak trolley laju, lalu hampir semua celah rak barang kat Tesco.

Penat tu penat. Tapi semua barang ni kena sampai kat ofis sebelum jam 10 pagi. Tak senang mencari barang mentah yang aku jarang beli. Ada sampai 2 atau 3 kali juga pusing-pusing. Ada juga yang terpaksa patah balik kerana bimbang tak cukup.

Masa di kaunter, aku cepat-cepat keluarkan barang daripada trolley. Aku memang nak cepat sebab jam sudah menghampiri jam 10 pagi. Sangatttt menghampiri.

Rupanya, penjaga kaunter itu sedang menunggu pelanggan yang sepatutnya membayar, namun meninggalkan kaunter atas sebab-sebab tertentu yang aku tak tahu. "Tak bolehkah kira dan scan yang saya dulu?" tanyaku.

"Tak boleh encik", kata gadis yang sederhana rendah itu.

Nak taknak, masa berjalan dan makin hampir jam 10 pagi, aku terpaksa mengangkut kembali barang ke dalam trolley dan menolak ke kaunter sebelah.

Kesusahan ini tidak berakhir di situ. Aku ingatkan semuanya selesai dibeli. Apabila sampai di ofis dan mengagihkan barang, barulah perasan 2 jenis barang tiada. Satu memang lupa beli, satu lagi sudah beli tetapi aku tak tahu di mana ia tercicir. Terpaksalah aku ke kedai berhampiran. Nak ke Tesco, rasanya sudah penat.

Pada hari ini, aku perlu tunjukkan cara penggunaan alat. Aku mulakan dengan memasang peralatan yang ditinggalkan semalam. Apabila selesai pasang, perasan ada satu kepala connection antara tiub angin mampat dengan alat rupanya telah berkarat dan menjejaskan fungsinya.

Puas aku try, angin tetap keluar. Waktu aku berhempas pula membaiki connection itu, semua mata penonton tertumpu pada aku. Aku pula terkial-kial. Akhirnya aku surrender dan aku minta maaf sebab tidak dapat meneruskan demonstrasi.

Oh Tuhan. Inikah kesusahan aku pada hari ini. Aku mungkin susah, tetapi ada lagi yang susah. Hendak tak hendak pun kena terima kesusahan ini. Tak hendak dia datang, hendak pun dia datang. Kesusahan ini pastinya dibayar pahala oleh DIA SWT setelah dijual dengan kesabaran oleh kita semua.

Malu atau tidak, aku mengaku kesusahan hari ini berpunca dari dosa semalam. Andai kata dosa itu dihapuskan dengan kesusahan yang kecil ini, aku redha kepada-Mu dan semoga Engkau redha kepada kita semua. 

 

No comments: