Followers

25 June, 2013

BUAT PENAT!

Melihat kepada jerebu mengingatkan kita betapa lemahnya diri kita sebagai manusia dan makhluk DIA SWT. Pandangan terhad dengan kabus asap memenuhi setiap ruang udara. Di mana hendak lari? Setiap ruang pastinya ada udara kerana manusia tak dapat hidup tanpa udara.

Namun, udara seperti jerebu pastinya bukan udara sihat yang manusia mahukan. Risau juga. Seakan jerebu ini 'membunuh' kita dalam senyap. Setiap orang di Malaysia khususnya pasti sangat peka dengan bacaan indeks IPU di kawasan mereka. Masing-masing khuatir IPU akan menjadi tahap merbahaya. Persoalannya, di mana hendak lari?

Berkurung dalam rumah mungkin membantu, tapi untuk seketika. Asap jerebu ini tetap akan masuk selagi udara mampu sampai ke situ. Penutup muka yang aku pakai pun masih tidak dapat menghalang asap ini. Aku tetap dapat mencium bau terbakar sekalipun sudah bertopeng!

Oh, Tuhan. Aku pohonkan kepada-MU keselamatan. Di saat ini aku tidak mampu menyelamatkan diriku. Hakikatnya, aku tidak mampu menyelamatkan diriku di mana-manapun, daripada apa-apapun. Dan hanya Engkau, oh Tuhanku, Yang Maha Penyelamat. Amiin.

Terdahulu, kita dikejutkan dengan trragedi bot karam di Belaga, Sarawak. Sangat menyedihkan. Padahal, perkara seumpama itu boleh dielakkan sekirannya muatan yang dibawa oleh bot tidak berlebihan. Bayangkan bot yang sepatutnya memuatkan 70 orang diisi sehingga mencecah lebih dua ratus.

Syukur kepada DIA SWT kerana lebih separuh mangsa terselamat. Namun, takziah kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga masing-masing. Perkara sudah terjadi dan sudah ditakdirkan. Apa yang boleh dilakukan adalah menerima ketentuan DIA SWT dan mengambil ini sebagai satu peringatan.

Kita tidak boleh menidakkan kebenaran ayat al-Quran apabila DIA SWT berfirman yang bermaksud segala apa musibah yang melanda manusia adalah disebabkan 'tangan' atau usaha manusia itu sendiri.

Lihat saja peristiwa jerebu dan bot karam ini. Jerebu datang disebabkan manusia membakar tanaman mereka. Bot karam pula disebabkan muatan yang berlebihan. Kedua-duanya hasil daripada 'tangan' atau tindakan manusia itu sendiri.

Sudah menjadi sunnatullah atau ketetapan DIA SWT. Setiap yang diusahakan akan diberikan hasilnya. Setiap perkara yang dilakukan secara berlebihan, pastinya mengandung musibah yang tidak sanggup untuk dihadapi kelak.

Apabila lapar, sungguh bagus sekali kalau dapat makan. Namun, makan berlebihan membuatkan manusia akan menyandar keletihan. Apabila mengantuk, tidur merupakan ubat yang paling ampuh. Namun, tidur yang berlebihan sering sekali menyebabkan kepala berat dan binggung sebentar.

Dan, sekali lagi benar apabila dikatakan kepada kita "Bersabarlah.....'Bersabar itu separuh daripada iman'. Kerna sabar itu kunci kepada sikap berlebih-lebihan. Hanya sabar yang dapat memasung rasa berlebih-lebihan yang nyata datangnya dari nafsu manusia yang tidak pernah puas.

Sesungguhnya DIA SWT itu bersama-sama ORANG YANG SABAR. Sabarlah di dalam segala aspek kehidupan. Sabarlah ketika menunggu pelayan datang mengambil pesanan atau menunggu makanan dihantar kepada kita. Sabarlah ketika menunggu giliran di kaunter bank atau pejabat pos. Sabarlah ketika berdepan dengan 'jammed'.

Sabarlah. Sabarlah menghabiskan 5 minit masa solat anda. Sabarlah ketika menghabiskan rangkap-rangkap zikir harian yang menjadi amalan para sahabat Dia SAW dan para ulama terkemudian. Sabarlah memohon rahmat DIA SWT supaya kita dijauhkan daripada maksiat dan dosa. Sabarlah dalam segala aspek kehidupan. Insya Allah. Semoga DIA SWT memudahkan sabar itu untuk kalian. Semoga DIA SWT memudahkan sabar itu untuk aku.

Sabar itu sifatnya ahli syurga!!!

Suatu hari, aku terpandang sebuah rumah yang kosong dan dipasang papan tanda pada sebelah dalam cermin 'sliding door'nya. Segera ianya menarik perhatianku.

"Saya nak gi tengok papan tanda tu. Kalau rumah itu nak jual, nak ambil nombor contact." ujar aku kepada seorang teman. Tanpa berlengah, aku pun menghidupkan motorsikal dan memecut ke arah rumah yang sebenarnya tidak jauh dari tempat kami berada. Kira-kira dalam 20 meter sahaja.

Seketika aku kembali kepadanya. Sedikit senyum pahit. "Tak sangka papan tanda itu tertulis, - Maaf, rumah ini bukan untuk dijual. Bukan untuk disewa!!!"

Buat penat tengok. Sabar.... sabar itu lebih baik. Hehehe.

salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe