Followers

27 May, 2013

TOLONG TRANSLATE...

Pada 25 Mei 2013,  menyaksikan satu rekod baru dalam hidup aku apabila dapat menjejakkan kaki di sebuah rumah anak yatim yang juga merupakan sekolah tahfiz al-Quran. Sewaktu Ain, pelajar tahun 3 Bioteknologi Makanan, USIM menghantar mesej, mempelawa aku bersama-sama mereka ke rumah anak yatim ini, aku fikir tiada apa-apa kelainan pada rumah  anak yatim ini. Mungkin sama saja seperti sebuah asrama yang dipagar sekelilingnya dan dihiasi dengan lanskap hijau, bunga-bunga dan tanaman lain. Namun, keluar satu perkataan dari mulut Ain yang membuatkan aku terpaku semasa kami bertemu untuk aku dapatkan maklumat detail daripadanya... 'ROHINGYA'

Madrasah Tahfiz dan Rumah Anak Yatim Hashimiah, tersorok di antara deretan rumah kedai di kawasan Pasar Borong Selayang. Kawasan kejiranan ini dibanjiri oleh manusia dari segenap pelosok negara yang kita selalu labelkan sebagai warga asing. Di sini berkumpulnya Indon, Bangla, Vietnam dan bermacam-macam lagi bangsa dari negara dunia ke-3 yang dicop sebagai mundur, miskin atau setidak-tidaknya dalam proses membangun.

Di kawasan inilah tinggalnya sebilangan anak-anak yatim etnik Rohingya yang kebanyakan mereka merupakan pelarian perang. Aku sebenarnya tidak mengikuti apa yang berlaku di Myanmar, tempat tinggal etnik Rohingya ini. Apa yang aku tahu, hanya secebis maklumat bahawa di negara mereka berlaku penghapusan etnik Rohingya.

Bagi aku, bunyinya amat mengerikan. Lebih ngeri daripada peperangan. Kerana, peperangan melibatkan pihak tentera dengan tentera. Akan tetapi, penghapusan etnik ini melibatkan gerakan membunuh semua manusia yang dikategorikan dalam etnik tersebut!!

Serius aku cakap, suasana di kawasan rumah kedai ini tidak menggambarkan Malaysia sebagaimana yang kita kenal. Ruang niaga di sini nampaknya dipelopori oleh bangsa asing. Imejnya bawaan daripada budaya mereka di sana. Suasana kedai yang kusam dengan perabot yang lama, keadaan lantai yang kotor dari dalam kedai hingga ke muka kedai. Ada pula yang membuka meja-meja kecil di kaki lima atau berdepan dengan kedai dan menjual pelbagai bahan makanan basah.

Kalau dilihat pada setiap tingkat rumah kedai ini, penuh dengan pakaian yang disidai dengan bermacam-macam ragam. Cermin tingkat yang kotor dan dipenuhi dengan tampalan bermacam-macam sticker dan poster. Kadang-kadang, aku tertanya-tanya adakah tingkat itu berpenghuni atau tidak bila melihat keadaan yang tidak terurus padahal di bilik dinding itulah tinggalnya orang-orang ini.

Sesungguhnya DIA SWT Maha Kaya.

Nur agama-Nya tidak pernah padam. Tidak di mana-mana sekalipun tanpa izin DIA SWT. Dan juga, tidak di sini. Di sebalik hiruk pikuk suasana di sini, berkumpul anak-anak yatim Rohingya yang di dalam dada mereka bersemadi al-Quran. Berkat ajaran guru-guru mereka yang ikhlas dengan sumber kewangan yang terhad, ada di antara mereka sudah ada 17 juzuk di dalam dada mereka. SUBHANALLAH.

Alangkah kerdilnya aku sebagai rakyat Malaysia yang bertuah ini. Ditemani dengan kemewahan dan kesenangan, hidup sudah menjangkau 32 tahun namun hanya surah-surah pendek yang bertakhta di hati. Inilah yang diulang-ulang setiap kali sembahyang 5 waktu.

Aktiviti di rumah anak yatim ini berjalan lancar walaupun ada di kalangan mereka yang tidak berapa memahami bahasa Melayu. Pun begitu, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Mereka sentiasa menonjolkan sikap mereka yang polos membuatkan kita sentiasa menyayangi mereka tidak kira apa bangsa sekali pun. ALLAHUAKBAR.

Menyedari masalah berkomunikasi antara aku dan mereka, aku mengambil inisiatif sendiri bagi memahami Uwais, salah seorang anak Rohingya yang mengelengkan kepala apabila aku tanyakan sama ada dia faham bahasa Melayu.

Aku minta bantuan Ismail yang juga kanak-kanak Rohinya tetapi nampak lebih yakin berbahasa Melayu.

"Tanyakan kepadanya, mak dia ada ke tak ada?" mintaku pada Ismail.

Ismail pun segera bercakap dengan Uwais. "Mak ada??" katanya dengan pelat lidah Rohingya.

Uwais lantas menjawab, "Tak ada"

Aku tanyakan lagi, "Tanyakan dia, bapa dia ada ke tak ada?"

Sekali lagi Ismail bertanya kepada Uwais, "Bapa ada??"

Uwais menjawab, "Ada"

Aku meminta lagi, "Tanyakan dia, bapa ada dimana?"

Ismail pun bertanya, "Bapa mana?"

Uwais menjawab, "Rumah"

Itu soalan akhir aku kepadanya sebelum membiarkan kanak-kanak ini pergi makan. Cuma aku kebingungan, di perenggan manakah kata-kataku diterjemahkan Ismail dalam bahasa Rohingya? Dan aku tertanya-tanya, pada jawapan yang manakah Uwais bercakap dalam bahasa Rohingya. Kalaulah ini macam, baik aku jer yang tanya terus kat dia. Haiih...
salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe

Madrasah Anak-Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah
Pengetua: Ustaz Hafiz Hashim Bin Qassim (019-2621671)
Sumbangan boleh dibuat di Bank Islam, atas nama Abdul Jalil B Ahmad, no. akaun 14-069-02-008512-3

Mohon dipanjangkan... Insya Allah.

No comments: