Followers

02 August, 2012

BUDAK APE TAU?

Seronok betul setiap malam di bulan Ramadhan. Surau dan masjid cerah dan dipenuhi orang. Orang tua, orang muda, laki-laki dan perempuan, orang dewasa dan budak kecil.... semua ada. Di kaki surau atau masjid, ada meja tempat jemaah berbuka puasa dan kemudian dijadikan tempat moreh selepas terawih. Suasana ini tak ada dalam bulan lain selain Ramadhan. Inilah bulan mulia yang dijanjikan DIA SWT pada awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya pembebasan dari api neraka.

Beruntung mereka yang ambil peluang untuk menambahkan amalan. Pahala mereka dilipat kali ganda. Celakalah mereka yang masih seronok melakukan maksiat tanpa rasa rugi mahupun bersalah. Dan sia-sialah mereka yang berada di antara kedua-dua golongan itu. 

Berapa ramai yang menunaikan ibadah terawikh di masjid dan surau seluruh Malaysia, tetapi berapa ramai lagi yang tidak. Dalam kelompok tidak pula, berapa ramai yang tidak berkesempatan kerana urusan kerja dan tanggungjawab lain, dan berapa ramai pula yang tidak pergi dengan sengaja.

Alangkah ruginya aku apabila tidak menjadi tetamu DIA SWT. Pada pendapat aku, DIA SWT memilih siapa yang DIA SWT mahu untuk beribadah kepada-Nya. Dan, kalau aku sibuk sehingga tidak dapat berterawikh, maknanya aku tidak dipilih oleh-Nya. Apa perasaanku apabila TUHAN aku tidak memilih aku untuk mengadap-Nya? Adakah aku patut rasa gembira?

Persoalannya, pernahkah aku serius untuk benar-benar menghadap DIA SWT. Kalaulah untuk suatu majlis gathering dengan  kawan-kawan, aku merancang sebulan lamanya, pernahkah untuk menyembah DIA SWT aku buat perkara yang serupa?

Inilah kegagalanku. Gagal untuk merancang untuk menyembah DIA SWT. Bahkan aku selalu menjadikan sembahyang dan ibadah lain sebagai kepentingan nombor dua. Aku rela menangguhkan sembahyang untuk suatu rancangan tv. Oh, sungguh lemah imanku. Semoga diampun DIA SWT.

Mungkin selama ini aku rasa segala perbuatan aku ditentukan oleh diri sendiri. Maka, dalam bab ibadah pun aku rasa aku yang menentukan samada mahu sembahyang atau tidak, mahu bersedekah atau tidak, mahu berzikir atau tidak.

Padahal DIA SWT yang menentukan segalanya. DIA SWT menentukan siapa yang akan menyembah-Nya, siapa yang layak diterima sedekahnya dan siapa yang layak mengingati-Nya. Yang pasti, mereka yang dipilih adalah orang yang disayangi-Nya.

Justeru, tidak hairanlah kepada mereka yang sibuk, akan terus disibukkan selagi mana mereka tidak berusaha merancang untuk mengadakan masa khas untuk DIA SWT. Dalam hal sembahyang yang tidak sampai 5 minit mengambil wudhu dan 10 minit bersembahyang pun, ramai manusia yang masih tidak sempat.

Semoga DIA SWT memilih kita untuk sentiasa berada pada jalan agama ini yang lurus.

Di sebalik kemeriahan ramadhan dan terawikh, budak-budak antara faktornya. Mereka kelihatan begitu comel dengan berkopiah, berjubah dan bertelekung. Umurnya masih muda, sudah pandai membaca fatihah. Kadang-kadang, bacaan mereka jauh lebih kuat mengatasi bacaan imam. :-)

Seorang budak yang bersembahyang terawikh sebelah aku, pada Jumaat malam 27 Julai 2012, membuatkan aku tidak fokus apabila asyik memandang aku. Dari ekor mata, aku nampak dia berpaling dan merenungku. Entah apa yang dia tengok.

Seorang budak yang aku temui di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pula pada 1 Ogos 2012, sedang leka bermain hingus sementara menunggu solat terawikh dimulakan. Dihembus hingus ke tangan. Digosok-gosok antara dua belah tangan kemudian dilapkan pada seluarnya. Kemudian, sekali dia menghembus hingusnya, mengulangi perbuatan yang sama beberapa kali. :-D

Jolie, seorang kawan yang kebengangan dengan budak-budak lelaki yang membuat bising bermain tembak-tembak di sebalik tirai jemaah perempuan. Sedikit mengganggu solatnya di Masjid Nilai.

Satu pengalaman yang tak dapat dilupakan ketika sembahyang raya di Tanjong Chat, Kota Bharu, Kelantan. Oleh kerana lambat, aku dapat saf yang paling belakang. Duduk sebelah aku seorang anak 'mat saleh' yang bapanya sudah lama memeluk Islam. Umurnya sekitar 4 tahun. Berbaju melayu dan bersampin, cukup segak dan perkataan comel paling sesuai untuknya.

Ketiadaan tempat, menyebabkan ada beberapa remaja tidak dapat ruang untuk bersembahyang raya duduk di belakang aku dan budak ini sambil menunggu sembahyang raya selesai.

Sewaktu sembahyang sudah sampai ke tahiyyat akhir, remaja ini yang dari tadi sudah tertarik dengan anak 'mat saleh' ini, mencuitnya dari belakang. Geram dirinya dikacau, anak mat saleh ini bertindak membalas. Dalam kedudukan bertahiyyat itu, anak mat saleh itu memukul orang yang disangka mengacaunya bersembahyang. Dan orang itu, adalah aku. Mengapa aku!!!!

Tak semena-mena aku yang sedang bertahiyyat ini pula dipukul di lengan oleh anak mat saleh yang bertahiyyat di sebelah kananku. Remaja itu terkekek-kekek ketawa apabila melihat anak mat saleh itu melepaskan kemarahan kepada orang yang salah. Sekali lagi dia mencuit anak mat saleh itu. Maka sekali lagi aku dipukul di lengan. Ada beberapa kali jugak la adegan cuit dan pukul ni sehinggalah imam memberi salam.

Budak-budak sebenarnya tidak tahu apa-apa melainkan orang dewasa yang perlu mendidik mereka. Usaha membawa mereka ke masjid dan surau harus dipuji. Akan tetapi, mendidik kanak-kanak ini supaya tahu menjaga adab di dalam tempat ibadah juga suatu yang perlu dititikberatkan. Janganlah sampai matlamat kebaikan yang dicari, akhirnya tercemar dengan perlakuan yang menjengkelkan dan menganggu jemaah lain. Ibu bapa adalah pihak pertama yang menggalas tanggungjawab ini dan setiap tanggungjawab akan dipersoalkan DIA SWT di akhirat kelak.

salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe.

No comments: