Followers

26 August, 2012

pemuda UMNO muslimat PAS

Malam tadi perasaan bercampur baur. Nak kata sedih, tak jugak. Nak kata tak sedih pun, tak jugak. Mungkin kesunyian adalah rasa yang paling tepat.
 
Aku bercakap pasal isu perasaan, perempuan dan pasangan. 3P. Hehehe...
 
Aku selalu ditanya, mengapa umur dah macam ni masih belum berkahwin. (Umur macam ni? Macam mana tu? Hehehe...)
 
Semalam seorang 'kawan' bagitau yang dia sudah berpunya. OK. Takde hal... dia 'kawan' aku jer pun. Ermmm... tak de hal lah... kecik punya hal... ermmm.. Ok.. Ok.. tak kisahnye pun  adoyai.
 
Ermm.. 'kawan' la. Bukan awek... 'kawan'. Jap... jap.. err...
 
Dia bagitau, lepas ni jangan pulak menjauhi dia. Dia kata aku 'kawan' dia yang paling rapat. Hahaha.. ok... takkan aku nak buat cam gitu... aku pun tak suka bila 'budak perempuan' kolej aku buat camtu kat aku dulu... hehe.. ok... errr... jap... jap....
 
Errr... mengapa pulak tiba-tiba rasa.... rasa... macam mana nak citer? Rasanya hilang semua kekenyangan aku makan nasi gulai daging dan ayam goreng bahagian peha yang besar dengan sayur kobis goreng kat kedai mamak ni.
 
Criitt! Criit! Suasana macam diselubungi ngan bunyi cengkerik jer. Padahal aku mengadap skrin besar dengan perlawanan Manchester United dengan Fulham secara live.
 
Sunyi~ ~ ~ ~ ~
 
Balik. Tidur. Bangun. Mandi. Gosok gigi. Dan teruskan kehidupan seperti biasa.
 
Tak ada sebab aku nak kecewa. Dia memang 'kawan' aku.  Cuma dia hadir mengisi sedikit kekosongan yang tidak diisi oleh mana-mana perempuan selepas 'budak kolej aku'. Oleh sebab 'kawan' aku dah berpunya, maka kekosongan itu akan kembali ke tempat asalnya. Dari situ timbulnya kesunyian. Itu la perasaannya.
 
Berbalik soal jodoh. Aku yakin, DIA SWT telah menjodohkan pemuda yang baik dengan perempuan yang baik.
 
'Kawan' aku tu seorang perempuan yang baik walaupun dia selalu menafikannya. Akhirnya bertemu jodoh dengan lelaki yang sepadan dengannya.
 
Aku?
 
DIA SWT tahu aku macam mana dan perempuan mana selayaknya dengan aku. Kadang-kadang aku menyangka jodoh aku lambat kerana aku mencari perempuan yang baik dan tidak sepadan dengan perangai aku yang teruk ni. Pengajarannya, cari pasangan yang teruk??? Ahh, tak lah. Pengajarannya, aku kena perbaiki diri untuk dapat perempuan yang baik. Simple jer.
 
Aku tulis sajak ni sebab dalam hati aku selain ada 'kawan' aku tadi, ada seorang lagi yang juga baik tak ingat. Hahaha... Aku ni tak sedar diri agaknya. Korang enjoy jer la bace sajak ni....
 
SAJAK PEMUDA UMNO MUSLIMAT PAS
 
Ku temui cinta dan sayang
Pada ukiran senyum seorang muslimat
Sehingga bahagia itu larut
Dalam angan siang dan malamku

Ku mahu bawa ia jauh
Dalam sedar dan dalam tidur
Agar cinta dan sayang tak terkubur
Mekar bersama titipan zuriat
Soleh solehah
Di taman kebun si muslimat
 
Sedang asas kubina
Badai ideologi itu memaksa aku tunduk
Pada cerminan diri
Seorang pemuda biasa
Yang jiwanya separuh milik keluarga
Separuh lagi memiliki cinta
 
Muslimat itu sentiasa senyum dalam bicara
Ayunya bersulam semangat yang tak pernah lelah 
Perjuangan yang tiada akhir
Membakar pengkhianatan
Mengusir kebatilan
 
Aku pemuda dan engkau muslimat
Dua jiwa berlainan darjat
Satu ke timur, satu ke barat
Hilang sepadu dalam sepakat
 
Benar aku bukan pemuda itu
Ku neutralkan hidupku
Dalam keluarga pemuda
Tatkala aku bahagia dan ingin kau bersama
Aku tidak mahu engkau derita
 
Duhai muslimat
Mahar memiliki mu tak terbayar
Ku tebus dengan dinar perjuanganmu
Maka engkau teruskan berjuang
Sehingga datang pahlawan membelamu
 
Ku kira engkau tidak mengerti
Kerna cinta dan sayangku belum sampai kepadamu
Tenggelam sebelum karam
Sudah retak menanti belah
 
Sebelum hati kita bertaut
Aku tancapkan pagar pemisah
Tinggallah aku lelaki lemah
Di satu sudut
Melihat kamu muslimat
Tersenyum dan berbicara
 
Aku sedar dan aku yakin
Semua ini bersifat asbab
Bukan salah kau muslimat dan aku pemuda
Termaktub sudah dalam Kalam Mulia
Wanita baik untuk lelaki baik juga
 
 

salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe

20 August, 2012

ABG TAHA

Selamat Hari Raya. 19 Ogos 2012.

Maaf Zahir & Batin kepada...

kawan-kawan yang mengenali... mereka yang tidak mengenali tetapi mengikuti blog ini... maaf dan terima kasih kerana membacanya.

Malam hari raya berjalan dengan pantas tanpa sempat aku tidur. Esok, hari raya pertama mak dan ayah sudah berjanji dengan saudara mara nak buat makan-makan di rumah kitorang selepas sahaja sembahyang sunat raya.

Entah la, rasa banyak pula kerja belum setel. Nak masak lagi, nak kemas rumah lagi. Kadang-kadang aku kat dapur tolong mak. Sekejap lagi, aku ke depan rumah, tolong kakak. Ahli keluarga yang lain pun macam tu jugak.

Tahun ni aku lebihkan komitmen dalam urusan menyediakan juadah dan kuih muih raya. Memang akak aku dah booking aku awal lagi untuk bantu dia buat kuih raya. Hasilnya, kuih cornflakes dan chocolate rice cookies. Untuk bahagian mak aku, aku dah tolong dia siang ikan tongkol dan pasang dapur. Giler berat tungku dapur tu... sakit pinggang weh!

Selesai sembahyang raya, kami sekeluarga sempat bergambar sebelum saudara mara datang serbu nak makan. Bila diorang datang, aku bukan saja sibuk melayan diorang tapi sibuk gak mengagihkan duit raya. Hehehe.

Saja nak reverse ke belakang. Cerita pasal salah satu iftar kat luar yang aku join. Aku jarang buka puasa kat luar apatah lagi masjid. Pertama malas, kedua takut tergesa-gesa nak habiskan makanan.

"Saya Taha" beritahu pakcik tu. Dia beredar untuk masuk ke dalam masjid selepas sahaja berbuka.

Aku masih kat situ, menyetelkan saki baki kurma yang sengaja aku amik lebih sebagai pencuci mulut. Menu buka puasa Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya haritu adalah nasi dengan lauk ayam sambal, ikan tongkol kicap dan peria goreng. Aku tak sentuh pun peria tu, tak suka makan sayur yang pahit-pahit ni.

Pakcik Taha tu dah pencen. Dia datang masjid dengan isterinya. Katanya, dah 10 tahun dia berterawih di merata-rata tempat. Dia tidak dok pada satu-satu masjid atau surau. Terkejut aku. Kebetulan lak, aku pun ada try berterawih kat banyak tempat tahun ni.

Kata-kata pakcik Taha yang aku rasa istimewa, "apa yang baik kat surau dan masjid orang, kita bawak balik ke tempat kita...."

Rupanya pakcik Taha ni aktif kat surau dekat tempat dia tinggal. Patut la dia suka melihat apa-apa kelebihan kat surau atau masjid orang. Harap dia boleh menyumbang sesuatu.

Memang seronok berbual dengan pakcik Taha ni. Banyak kisahnya walaupun kami bersembang lebih kurang 20 minit je. Tak tertulis kat blog ni.

Aku rasa macam dah jodoh nak berjumpa pakcik Taha ni. Agaknya, DIA SWT nak bagi aku motivasi untuk aku terus mencari surau atau masjid yang berbeza-beza untuk berterawih. Ambil pakcik Taha sebagai contoh yang tak jemu-jemu melakukannya untuk tempoh 10 tahun.

Kemudian aku terpikir juga.... ke sebab taknak aku jadi berlagak dan riak? Maklumla... pakcik Taha pun dah 10 tahun buat.. aku baru jer nak try untuk tahun ni. Nak berlagak? Kirim salam jer la....
Salah ke aku cakap?? My opinion la... hehe.

02 August, 2012

BUDAK APE TAU?

Seronok betul setiap malam di bulan Ramadhan. Surau dan masjid cerah dan dipenuhi orang. Orang tua, orang muda, laki-laki dan perempuan, orang dewasa dan budak kecil.... semua ada. Di kaki surau atau masjid, ada meja tempat jemaah berbuka puasa dan kemudian dijadikan tempat moreh selepas terawih. Suasana ini tak ada dalam bulan lain selain Ramadhan. Inilah bulan mulia yang dijanjikan DIA SWT pada awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya pembebasan dari api neraka.

Beruntung mereka yang ambil peluang untuk menambahkan amalan. Pahala mereka dilipat kali ganda. Celakalah mereka yang masih seronok melakukan maksiat tanpa rasa rugi mahupun bersalah. Dan sia-sialah mereka yang berada di antara kedua-dua golongan itu. 

Berapa ramai yang menunaikan ibadah terawikh di masjid dan surau seluruh Malaysia, tetapi berapa ramai lagi yang tidak. Dalam kelompok tidak pula, berapa ramai yang tidak berkesempatan kerana urusan kerja dan tanggungjawab lain, dan berapa ramai pula yang tidak pergi dengan sengaja.

Alangkah ruginya aku apabila tidak menjadi tetamu DIA SWT. Pada pendapat aku, DIA SWT memilih siapa yang DIA SWT mahu untuk beribadah kepada-Nya. Dan, kalau aku sibuk sehingga tidak dapat berterawikh, maknanya aku tidak dipilih oleh-Nya. Apa perasaanku apabila TUHAN aku tidak memilih aku untuk mengadap-Nya? Adakah aku patut rasa gembira?

Persoalannya, pernahkah aku serius untuk benar-benar menghadap DIA SWT. Kalaulah untuk suatu majlis gathering dengan  kawan-kawan, aku merancang sebulan lamanya, pernahkah untuk menyembah DIA SWT aku buat perkara yang serupa?

Inilah kegagalanku. Gagal untuk merancang untuk menyembah DIA SWT. Bahkan aku selalu menjadikan sembahyang dan ibadah lain sebagai kepentingan nombor dua. Aku rela menangguhkan sembahyang untuk suatu rancangan tv. Oh, sungguh lemah imanku. Semoga diampun DIA SWT.

Mungkin selama ini aku rasa segala perbuatan aku ditentukan oleh diri sendiri. Maka, dalam bab ibadah pun aku rasa aku yang menentukan samada mahu sembahyang atau tidak, mahu bersedekah atau tidak, mahu berzikir atau tidak.

Padahal DIA SWT yang menentukan segalanya. DIA SWT menentukan siapa yang akan menyembah-Nya, siapa yang layak diterima sedekahnya dan siapa yang layak mengingati-Nya. Yang pasti, mereka yang dipilih adalah orang yang disayangi-Nya.

Justeru, tidak hairanlah kepada mereka yang sibuk, akan terus disibukkan selagi mana mereka tidak berusaha merancang untuk mengadakan masa khas untuk DIA SWT. Dalam hal sembahyang yang tidak sampai 5 minit mengambil wudhu dan 10 minit bersembahyang pun, ramai manusia yang masih tidak sempat.

Semoga DIA SWT memilih kita untuk sentiasa berada pada jalan agama ini yang lurus.

Di sebalik kemeriahan ramadhan dan terawikh, budak-budak antara faktornya. Mereka kelihatan begitu comel dengan berkopiah, berjubah dan bertelekung. Umurnya masih muda, sudah pandai membaca fatihah. Kadang-kadang, bacaan mereka jauh lebih kuat mengatasi bacaan imam. :-)

Seorang budak yang bersembahyang terawikh sebelah aku, pada Jumaat malam 27 Julai 2012, membuatkan aku tidak fokus apabila asyik memandang aku. Dari ekor mata, aku nampak dia berpaling dan merenungku. Entah apa yang dia tengok.

Seorang budak yang aku temui di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pula pada 1 Ogos 2012, sedang leka bermain hingus sementara menunggu solat terawikh dimulakan. Dihembus hingus ke tangan. Digosok-gosok antara dua belah tangan kemudian dilapkan pada seluarnya. Kemudian, sekali dia menghembus hingusnya, mengulangi perbuatan yang sama beberapa kali. :-D

Jolie, seorang kawan yang kebengangan dengan budak-budak lelaki yang membuat bising bermain tembak-tembak di sebalik tirai jemaah perempuan. Sedikit mengganggu solatnya di Masjid Nilai.

Satu pengalaman yang tak dapat dilupakan ketika sembahyang raya di Tanjong Chat, Kota Bharu, Kelantan. Oleh kerana lambat, aku dapat saf yang paling belakang. Duduk sebelah aku seorang anak 'mat saleh' yang bapanya sudah lama memeluk Islam. Umurnya sekitar 4 tahun. Berbaju melayu dan bersampin, cukup segak dan perkataan comel paling sesuai untuknya.

Ketiadaan tempat, menyebabkan ada beberapa remaja tidak dapat ruang untuk bersembahyang raya duduk di belakang aku dan budak ini sambil menunggu sembahyang raya selesai.

Sewaktu sembahyang sudah sampai ke tahiyyat akhir, remaja ini yang dari tadi sudah tertarik dengan anak 'mat saleh' ini, mencuitnya dari belakang. Geram dirinya dikacau, anak mat saleh ini bertindak membalas. Dalam kedudukan bertahiyyat itu, anak mat saleh itu memukul orang yang disangka mengacaunya bersembahyang. Dan orang itu, adalah aku. Mengapa aku!!!!

Tak semena-mena aku yang sedang bertahiyyat ini pula dipukul di lengan oleh anak mat saleh yang bertahiyyat di sebelah kananku. Remaja itu terkekek-kekek ketawa apabila melihat anak mat saleh itu melepaskan kemarahan kepada orang yang salah. Sekali lagi dia mencuit anak mat saleh itu. Maka sekali lagi aku dipukul di lengan. Ada beberapa kali jugak la adegan cuit dan pukul ni sehinggalah imam memberi salam.

Budak-budak sebenarnya tidak tahu apa-apa melainkan orang dewasa yang perlu mendidik mereka. Usaha membawa mereka ke masjid dan surau harus dipuji. Akan tetapi, mendidik kanak-kanak ini supaya tahu menjaga adab di dalam tempat ibadah juga suatu yang perlu dititikberatkan. Janganlah sampai matlamat kebaikan yang dicari, akhirnya tercemar dengan perlakuan yang menjengkelkan dan menganggu jemaah lain. Ibu bapa adalah pihak pertama yang menggalas tanggungjawab ini dan setiap tanggungjawab akan dipersoalkan DIA SWT di akhirat kelak.

salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe.