Followers

23 October, 2011

Buat apa? Buat lebih baik

"Buat apa puasa, tapi sembahyang hang tinggal!"




Leter pemuda yang berasal daripada utara tanah air kepada kawan serumahnya. Rasa bertanggungjawab untuk menegur kekhilafan yang jelas berlaku di depan mata. Ini bukan tegur kosong, pemuda itu akan dapat saham di akhirat. Tegurannya juga satu dakwah. Kawannya kena terima walaupun pedih. Berkatalah benar walaupun ianya pahit. Inikan sunnah Dia s.a.w.




Ayat seperti ini selalu kita dengar. Kadang-kadang kita sendiri pun bercakap dengan nada yang sama. Mak bapak kita pun tak terkecuali. Masa kita bersekolah, mereka cakap "Buat apa kamu sekolah, kalau tak baca buku!" Arahannya jelas, kita kena baca buku. Kita sendiri pun maklum. Macam mana nak pandai kalau kita tak mengulangkaji pelajaran. Caranya, baca buku!




Dalam alam pekerjaan, sering pula kita dengar rungutan daripada rakan sekerja, "Buat apa kerja penat-penat, siang malam kalau gaji sikit dan orang lain yang naik pangkat!" Mereka hanya menyuarakan hak mereka. Tiada kesalahan pun dalam luahan hati mereka. Mereka hanya menyatakan apa yang mereka rasa dan mereka nampak. Majikan perlu ambil endah pasal semua ini. Majikan kena peka!




Suatu ketika, ada orang menilai semula adat membaca yaasin malam Jumaat. Mereka mungkin berkata, "Buat apa baca yaasin malam Jumaat saja, malam lain tak boleh bacakah? Kalau baca surah lain pada malam Jumaat, bagaimana pula?" Berikut lontaran soalan demi soalan. Ini kerana, umat Islam tidak boleh melakukan amal hanya kerana ianya satu adat. Kita mesti maklum, setiap amal mesti dilakukan kerana DIA SWT dan bukan kerana ikut-ikutan antara masyarakat.




Aku turut sama menerima pandangan 'baru' ini. Bahkan, pernah mengutarakannya kepada emak yang sememangnya berpegang pada 'adat orang dulu-dulu'. Selalu saja dia mengingatkanku, "Tak baca yaasin kah? Malam ni, malam Jumaat."




Aku berpendapat, ini semua amalan Islam yang telah di'adat'kan. Orang Islam perlu 'lari' dari amalan seperti ini. Keikhlasan kita menjadi semakin luntur. Kita buat kerana semua orang buat. Sampai kita jadi malu, kalau orang lain buat tetapi kita tidak buat.




Aku tidaklah menolak mentah-mentah saranan emak untuk baca yaasin setiap Jumaat. Itu memang amalan yang aku terdidik sejak dulu. Di asrama pun, kami baca yaasin beramai-ramai, dalam bulatan besar, berkelompok-kelompok, memenuhi ruang surau asrama pada malam Jumaat. Amalan ini sangat biasa bagi aku. Namun, pandangan amalan dibuat bukan atas dasar adat juga tidak boleh ditolak sembrono.




Hati kecilku mula bertindak sesuai dengan fikiranku. Bila tiba saja malam Jumaat, hati akan berdetik, "Jangan jadikan bacaan yaasin satu adat. Baca saja hari lain." Sedar tak sedar, aku mula meninggalkan amalan baca yaasin malam Jumaat.




Sekarang, aku mula terfikir apa faedah yang aku dapat daripada menerima pandangan baru itu. Adakah aku mendapat keikhlasan? Melihat kepada praktiknya, aku bukan sahaja meninggalkan adat tadi, bahkan aku sudah mula meninggalkan salah satu amalan mulia di sisi Islam. Amalan yang menjadi rutin para ulama silam, yang kemudian mewariskan kepada masyarakat untuk diamalkan sehingga tanpa sedar, terbentuk sebagai satu adat.




Di mana untungnya aku? Di mana ruginya aku? Untungnya, aku boleh bergoyang kaki tatkala ramai muslimin bersengkang masa sekitar 10 hingga 20 minit untuk menghabiskan surah yaasin. Ruginya, bila manfaat daripada pahala bacaan yaasin langsung tidak aku peroleh. Dahulu, sekurang-kurangnya aku mampu mendapat pahala sekali seminggu.




Dalam sebuah buku yang judulnya aku lupa. Mungkin judulnya, 'Solat cara S.M.A.R.T'. Atau mungkin boleh jadi 'Panduan solat S.M.A.R.T'. Apa-apapun, perkataan S.M.A.R.T tidak tinggal kerana di situlah penulis menyelitkan kunci isi kandungan buku itu. Terdapat huraian menarik bagi setiap huruf yang boleh membantu seseorang memantapkan solatnya.




Apa yang menarik, penulis sangat-sangat menggalakkan pembaca mengamalkan apa yang dicanangkan solat yang bijak (smart). Sebagaimana pepatah, 'study smart not study hard'. Pada pemahaman aku, betulkan kalau aku salah, penulis mengajak pembaca semua tunaikan sembahyang walaupun sembahyang itu hanya dilaksanakan seringkas mungkin, tanpa menunaikan perkara-perkara sunat dalam sembahyang. Sebagaimana dalam berwudhu', anggota wajib wudhu' hanya 4 sahaja!




Moralnya, buatlah kebaikan walaupun sedikit. Moralnya juga, BUAT, LEBIH BAIK daripada tidak buat langsung.




Cikgu Yusuf, guru subjek Kimia masa sekolah dulu pernah berkata, "Walaupun kamu malas baca buku, namun dalam sehari kamu mesti belek juga buku itu. Beleklah sehelai demi sehelai muka surat buku itu."




Masa itu, aku terfikir di mana faedah membelek buku tanpa membacanya. Dalam tak sedar, aku telah mempraktikannya ke dalam minat membaca komik 'Pedang Setiawan'. Aku sering membelek komik yang lepas-lepas untuk menggamati lukisan komik. Aku telah jadi peminat Mah Weng Seng. Dalam membelek sehelai demi sehelai komik itu, kadang-kadang 'ter'ulangbaca juga isinya. Hinggakan aku dapat mengingati ceritan dan nama wataknya. Bahkan hikmat-hikmat atau jurus-jurus kung fu yang digunapakai seperti Cakar Penolak Awan juga sudah menjadi mainan di bibir sahaja.




Sekali lagi moralnya tetap sama.... BUAT, LEBIH BAIK daripada tak buat langsung. Oleh itu, aku terpaksa berfikir dua kali bila berdepan dengan situasi seperti contoh-contoh awal di atas. Situasi seorang rakan yang berpuasa, tetapi tidak sembahyang. Berpuasa itu lebih baik, daripada meninggalkan puasa kerana tidak sembahyang. Baca yaasin malam Jumaat itu juga lebih baik, daripada meninggalkannya terus.




Ambil satu contoh yang biasa kita pakai dalam mendefinisikan artis-artis kita yang bertudung tapi berjambul. Ramai kita yang tahu hukum hakam akan berkata, "Buat apa bertudung kalau keluar jambul." Aku pula setelah berfikir 2 kali akan berkata, bertudung itu lebih baik daripada membiarkan semua rambutnya dilihat orang.




Siapalah kita untuk menilai amalan seseorang. Amalan ini akarnya adalah niat. Dahannya adalah ilmu. Cabangnya adalah istiqomah. Hasilnya adalah ikhlas.




Tegurlah ke arah yang baik. Jangan bertindak 'mencantas' niat baik atau amalan mereka.




salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe.




P/s: Aku perasaan ada follower baru. Terima kasih. Kamu semua buat aku terharu... rasa mau nangis. Hu..hu.. Aku tidak pernah promot pada mana-mana link sebab blog ini sekadar suka-suka. Aku sendiri pun bukan ada idea dan boleh post dengan kerap. Kadang2 terbiar jugak blog ni. Bagi aku, mana-mana orang yang terbaca blog ni, itu rezeki mereka. Kalau mereka dapat sesuatu dari isi kandungannya, itupun rezeki mereka. Kalau mereka berminat nak jadi follower, aku mengalu-alukan kedatangan mereka. Sebab mereka jugalah penambah semangat untuk aku terus memberi yang dirasakan terbaik. Kalau korang rasa tak terbaik lagi, tak tau la nak cakap.
MySpace

1 comment:

voltox said...

Salam sheh

bagus post ni sheh

kadang2 kita memandang rendah apa yg orang lain buat..akhirnya kita seolah-olah ada 'perasaan benci' dengan apa yg orang buat..sehingga akhirnya dalam diam kita jadi malas nak buat..akhirnya kita tinggalkan benda tu sedangkan kita rajin buat benda tu sebelum ni..

tahniah kerana buat post ni..ingatkan nak letak tajuk berdua lebih baik..tapi sheh memang baik..apa rahsia