Followers

09 April, 2010

Mana?!!

Di sebuah rumah, di Kampung Teluk Ketapang, Kuala Terengganu. Seorang ibu sedang menyiapkan lauk pauk untuk makan tengahari.

Hari ini ada pembaharuan pada lauk masakan Teh. Sudah lama dia tidak menjamu anak-anaknya dengan 'bahan' istimewa ini. Berbunga hatinya kalau-kalau mereka gembira menikmatinya.

Masakan panas itu segera dihidangkan. Asap berkepul-kepul ke udara. Bau harum masakan ternyata mengundang rasa lapar kepada anak-anaknya, terutama Megat yang baru mencecah usia 10 tahun. Seronok kerana makanan telah terhidang, Megat lantas mendekatinya.

Bermulalah bicara ibu dan anak dalam dialek Terengganu.

"Hari ini Mok masok ketang. Makang la" beritahu Teh kepada Megat. 'Ketang' itulah bahan istimewanya hari ini.

Megat tersenyum mendengarnya. Lantas tangan dibasuh, pinggan diambil dan dicedokkan nasi oleh ibunya. Kemudian Megat memegang sudu lauk yang dikatakan ibunya tadi. Dibalik-balikkan 'ketang' menggunakan sudu dan dicedok-cedoknya kuah bagai mencari sesuatu. Tidak juga dicedok atau diambilnya 'ketang' itu ke pinggannya.

Muka Megat mula menunjukkan rasa kurang senang. Ternyata dia seperti tidak menjumpai apa yang diingininya.

"Mok... mane ketang??" tanya Megat dengan raut wajah yang nyata kecewa.

Teh kehairanan. Sudah terang-terang 'ketang' itulah yang disajikannya.

"Itulah ketang... " ujar Teh.

"Mane? Takdok pung" Megat mengeluh lagi.

Bertambah kehairanan Teh dibuat Megat. Teh mula ingin mendapat kepastian.

"Inilah ketang, Mok masok ketang kang! Megat cari ape?"

"...Cari ketang la" getus Megat kecewa.

Teh mula faham apa yang dicari Megat.

"Oo.. Mok masok ketam. K.E.T.A.M... Bukan masok KENTANG"

Kali ini Megat pula mengangguk faham.


************************************************************************

Pasti datang! Tidak cepat dan tidak lewat. Selalu pada masanya.

Kita tidak boleh lari dari takdir. Takdir adalah ketentuan DIA.

DIA mentakdirkan apa yang DIA mahu.

Dan bukan apa yang kita mahu.

Kerana..

DIA adalah TUHAN.

Mungkin takdir tidak menyebelahi kita. Sehinggakan kita merungut dan kecewa. Megat juga kecewa. Mahunya adalah kentang.. kerana fikirnya kentang adalah takdirnya.

Kemudian ternyata yang diberi adalah ketam.. kerana itulah takdirnya.

Seringkali kita gagal untuk memahami takdir. Kemudian apa yang diperoleh, apa yang berlaku, menjadi bahan penyesalan yang panjang. Sebenarnya bukan susah memahami takdir, kerana apa yang perlu... berbaiklah dengan DIA.

Megat boleh lebih dahulu tahu andai dia ber'baik' dengan ibunya. Menjenguk atau menawarkan diri untuk sama-sama menyiapkan sajian tersebut.

Apabila Megat memilih untuk 'jauh' dari ibunya, maka dia sendiri tidak tahu bahan masakan ibunya.

Kita dan DIA harus tidak 'jauh'. Seharusnya!!!

Kita berkehendak, sedang DIA juga berkehendak.

Kita meminta kepada DIA dan meletakkan harapan. Dalam lupa, seolah-olah mendesak supaya permintaan dikabulkan.

Kita menerima, sedang DIA memberi.

Malahan kerana DIA memberi, maka DIA lebih berhak untuk menerima..!!

Bersyukurlah dan fahami SI PEMBERI.

salah ke aku cakap? My opinion la.. hehe